Jumaat, 13 Disember 2019 | 8:13pm
Pelumba pasukan Team Engstler, Hafizh Syahrin Abdullah beraksi dalam pusingan kelayakan WTCR di Litar Antarabangsa Sepang. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli
Pelumba pasukan Team Engstler, Hafizh Syahrin Abdullah beraksi dalam pusingan kelayakan WTCR di Litar Antarabangsa Sepang. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Mitchell, Hafizh, Douglas bergelut kelayakan WTCR di Sepang

SEPANG: Pemandu wildcard negara, Mitchell Cheah, Hafizh Syahrin Abdullah dan Douglas Khoo masing-masing bergelut pada pusingan kelayakan perlumbaan empat roda, Kejuaraan Piala Touring Car Dunia (WTCR) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini, hari ini.

Mitchell melakar masa 2 jam 15 minit 357s untuk berada di kedudukan ke-25 manakala Hafizh (2:16.746s) dengan masing-masing mewakili pasukan Team Engstler manakala pemandu Viper Niza Racing, Douglas merakamkan 2:19.365s di tempat ke-30.

“Saya agak terkejut dengan kepantasan pelumba lain di pusingan kelayakan tapi seperti kita semua tahu perlumbaan ini bertaraf dunia.

“Ini adalah salah satu fasa pembelajaran buat saya. Jika kami dapat menemui rentak, rasa yakin dan selesa dengan kereta, kami memiliki peluang yang lebih baik,” kata Mitchell ketika ditemui dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Hafizh Syahrin mengakui pusingan kelayakan WTCR agak sukar buatnya malah pemandu lain mempunyai lebih banyak pengalaman sambil menjelaskan mahu cuba mengelakkan daripada melakukan kesilapan.

Untuk rekod, minggu ini SIC melakar sejarah baharu apabila menganjurkan 'Races of Malaysia' yang menyajikan dua perlumbaan eksklusif membabitkan aksi dua roda dan empat roda.

Buat julung kalinya, SIC akan dibanjiri pelumba dan pemandu profesional yang masing-masing bakal beraksi dalam Kejuaraan Endurance Dunia (EWC) dan WTCR.

Kedua-dua kejuaraan ini menyediakan keunikan tersendiri selain berbeza berbanding kejuaraan pernah dianjurkan di Sepang seperti Formula Satu (F1) dan Kejuaraan Motosikal Dunia. Perlumbaan EWC dan WTCR ini lebih tertumpu kepada kerja sepasukan, ketahanan mental serta fizikal dan jentera.

Sebanyak 51 pasukan daripada Eropah, Jepun dan Asia Tenggara termasuk Malaysia, Indonesia dan Thailand berentap dalam perlumbaan menguji ketahanan fizikal dan mental ini tatkala jumlah maksima motosikal di grid perlumbaan adalah 60.

Berita Harian X