Sabtu, 14 Disember 2019 | 10:23pm
Pasukan Yart-Yamaha bergelar juara perlumbaan Kejuaraan Endurance Dunia (EWC) atau dikenali sebagai ‘Sepang 8 Hours’ berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), sebentar tadi. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli
Pasukan Yart-Yamaha bergelar juara perlumbaan Kejuaraan Endurance Dunia (EWC) atau dikenali sebagai ‘Sepang 8 Hours’ berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), sebentar tadi. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Yart-Yamaha juara 'Sepang 8 Hours'

SEPANG: Pasukan Yart-Yamaha bergelar juara perlumbaan Kejuaraan Endurance Dunia (EWC) atau dikenali sebagai ‘Sepang 8 Hours’ berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), sebentar tadi.

Pasukan yang menggunakan motosikal YZF-R1 diwakili Broc Parkes, Karel Haneka dan Niccolo Canepa itu melengkapkan 80 pusingan perlumbaan meninggalkan pasukan di tempat kedua dengan kelebihan masa 1 minit 49.622.

Tempat kedua milik pasukan Honda Asia-Dream Racing with SHOWA yang diwakili pelumba negara, Muhammad Zaqhwan Zaid, Andi Farid Izdihar dan Somkiat Chantra yang mengemudi motosikal CBR1000RR.

Pasukan BMW Motorrad World Endurance Team yang hanya menurunkan dua pelumba iaitu Illya Mykhalchyk dan Markus Reiterberger ketinggalan satu pusingan kepada pemenang untuk berada di podium selaku pemenang tempat ketiga.

Dalam pada itu, Yamaha Sepang Racing yang menampilkan Franco Morbidelli, Hafizh Syahrin Abdullah dan Michael Van Der Mark menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh.

Trio BMW Sepang Racing Azlan Shah Kamaruzaman, Adam Norrodin dan Julien Da Costa pula mengakhiri perlumbaan di tempat kelapan.

Terdahulu perlumbaan sepatutnya berlangsung jam 1 petang hari ini terpaksa ditangguhkan gara-gara permukaan litar basah berikutan hujan lebat.

Perlumbaan kemudian dimulakan semula pada jam 3 petang namun selepas melakukan sembilan pusingan di belakang kereta keselamatan ia terpaksa ditangguhkan sekali lagi.

Perlumbaan bersambung semula jam 6 petang selepas litar beransur kering dan mendapat lampu hijau pengarah perlumbaan.

EWC yang juga dikenali 'Sepang 8 Hours' julung kali dianjurkan di SIC dan ia adalah pusingan kedua dalam kalendar kejuaraan EWC musim 2019-2020 selain menjadi pusingan kelayakan bagi pasukan Asia untuk layak ke Suzuka 8 Hours tahun depan.

Esok akan berlangsung perlumbaan Kejuaraan Piala Touring Car Dunia (WTCR).

Berita Harian X