Khamis, 6 Februari 2020 | 1:13pm
Lewis Hamilton dan Sebastian Vettel (kiri).

Red Bull tak perlukan Hamilton, Vettel

LONDON (Reuters): Ketua pasukan Red Bull, Christian Honer menegaskan mereka tidak memerlukan khidmat Lewis Hamilton dan Sebastian Vettel bagi menggalas tanggungjawab pasukan dalam perlumbaan Formula Satu (F1).

Sebaliknya, dia yakin dengan kemampuan pemandu muda, Max Verstappen, 22, yang dijangka menjadi pencabar buat Hamilton yang dalam misi memburu gelaran dunia ketujuh musim ini.

Hamilton dan Vettel masing-masing akan tamat kontrak bersama Mercedes dan Ferrari pada hujung saingan musim ini.

Horner, berkata dia menjangkakan Hamilton yang dikaitkan bakal mengambil alih tempat Vettel di Ferrari sebelum ini akan terus kekal bersama Mercedes.

“Dia (Hamilton) tidak sesuai dengan program kami. Kami mempunyai Max yang mana polisi kami adalah untuk membuat pelaburan ke atas pemandu muda dan membangunkan mereka.

“Hamilton tidak sesuai dengan perkara itu,” kata Horner.

Sementara itu, Horner turut menyatakan pendirian sama terhadap Vettel yang memenangi empat gelaran dunia berturut-turut bersama Red Bull pada 2010 hingga 2013 

Katanya, pencapaian pemandu berusia 32 tahun itu bersama pasukan berkenaan sudah menjadi sejarah. – AGENSI

Berita Harian X