Khamis, 6 Februari 2020 | 8:01pm

Quartararo guna jentera Rossi

SEPANG: Selepas tujuh kali menaiki podium musim lalu, PETRONAS Yamaha SRT menuntut ‘ayam tambatannya’ Fabio Quartararo melakar pencapaian gemilang musim ini termasuk menjuarai perlumbaan.

Prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali berkata, pelumba kelahiran Perancis itu harus tiada alasan untuk menyinar, apatah lagi sudah pun menandatangani kontrak bersama Yamaha sehingga 2022.

"Di atas kertas, sememangnya kami mengharapkan aksi cemerlang Quartararo. Kariernya sudah terjamin apabila bersama Yamaha sehingga 2022.

"Jadi, dia boleh fokus dan cuba mendapatkan podium tertinggi iaitu memenangi perlumbaan," katanya selepas majlis memperkenalkan pasukan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Razlan mengakui harapan tinggi diletakkan kepada Quartararo selepas dia memperoleh jentera sama seperti pasukan pengeluar, Monster Energy Yamaha yang dibarisi oleh Valentino Rossi sera Maverick Vinales.

"Quartararo sendiri meminta jentera sama dengan pasukan pengeluar dan dia sudah pun memperolehnya. Sekarang masanya untuk buktikan kemampuan dirinya di atas litar," katanya.

Dalam saingan musim lalu, menduduki tempat kelima keseluruhan selepas mengutip 192 mata.

Pelumba berusia 21 tahun itu mendapat tempat kedua di Grand Prix Catalan, GP Belanda (3), GP Austria (3), GP San Marino (2), GP Thailand (2), GP Jepun (2) dan GP Valencia (2).

Sementara itu, Razlan turut berharap seorang lagi pelumba, Franco Morbidelli mampu membuktikan dirinya masih berhak kekal bersama pasukan.

"Morbidelli akan menggunakan jentera pengeluar edisi tahun lalu tetapi ditambah baik. Selepas lima atau enam perlumbaan, kami akan menilai prestasinya sebelum memikirkan berhubung masa depannya," katanya.

MotoGP musim ini akan membuka tirainya di Qatar, 8 Mac ini.

Kalendar MotoGP 2020

8 Mac: GP Qatar

22 Mac: GPThailand

5 April: GP Amerika

19 April: GP Argentina

3 Mei: GP Sepanyol

17 Mei: GP Perancis

31 Mei: GP Itali

7 Jun: GP Catalunya

21 Jun: GP Jerman

28 Jun: GP Belanda

12 Julai: GP Finland

9 Ogos: GP Republik Czech

16 Ogos: GP Austria

30 Ogos: GP Great Britain

13 September: GP San Marino

4 Oktober: GP Aragon

18 Oktober: GP Jepun

25 Oktober: GP Australia

1 November: GP Malaysia

15 November: GP Valencia

PRINSIPAL PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali (tengah) bersama pelumba pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli ketika majlis memperkenalkan pasukan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini. - Foto Asyraf Hamzah
Berita Harian X