Selasa, 24 March 2020 | 6:07pm
KASMA menunjukkan bahagian jari dan kulit tangannya yang diambil bagi menggantikan jari yang cedera. - Foto ihsan Kasma Daniel
KASMA menunjukkan bahagian jari dan kulit tangannya yang diambil bagi menggantikan jari yang cedera. - Foto ihsan Kasma Daniel

Kasma Daniel yakin dapat pulih

KUALA LUMPUR: Perubahan dalam kalendar Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2020 akibat penularan wabak COVID-19 memberi ruang masa buat pelumba Moto2 negara, Kasma Daniel Kasmayudin untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan jari tangan kirinya.

Pelumba ONEXOX TKKR SAG Team itu memberitahu, kecederaan di jari manisnya semakin menunjukkan tanda pulih dan dinasihatkan pihak perubatan supaya tidak terlalu banyak melakukan pergerakan bagi membolehkan proses pemulihan dapat berlaku dengan lebih baik.

“Alhamdulillah semakin pulih,” kata Kasma atau dikenali dengan gelaran Dragon Boy itu. “Bagi saya, sekiranya jadual perlumbaan seperti asal, saya tak sempat baik untuk perlumbaan kedua.

“Namun dengan penangguhan yang dilakukan, saya mempunyai lebih masa untuk 100 peratus pulih dan bersiap sedia bagi perlumbaan seterusnya.

“Tentunya persiapan untuk perlumbaan seterusnya, saya akan selalu berada dalam keadaan bersiap sedia baik daripada sudut kecergasan.

“Semua tahu yang pada masa ini (akibat penularan wabak COVID-19), latihan agak terhad namun saya masih melakukan latihan sendiri di rumah.”

Kasma mengalami kecederaan berkenaan pada sesi ujian persendirian pasukan sebelum ujian rasmi pra musim Moto2 berlangsung di Litar Jerez, Februari lalu.

Dia kemudian berlepas ke Litar Antarabangsa Losail, Qatar untuk ujian rasmi pra musim terakhir kira-kira seminggu selepas itu.

Kecederaannya masih belum pulih sepenuhnya ketika beraksi pada pusingan pembuka tirai di litar sama pada 8 Mac lalu dan Kasma menjelaskan: “Ketika minggu perlumbaan di Qatar, saya tak mempunyai cukup latihan kerana kecederaan di jari itu.

“Kecederaan itu berlaku sehari selepas latihan hari pertama di Jerez, jadi seminggu saya berada di hospital di Barcelona untuk menjalani pembedahan kecil di jari.

“Selepas seminggu, saya terus ke Qatar dan saya tak dapat mengikuti menyertai ujian pra musim di Qatar… saya hanya menyertai ujian latihan rasmi Moto2 (Grand Prix Qatar) saja.

“Jadi saya agak lambat memulakan latihan di trek Qatar berbanding dengan pelumba lain yang sudah mula tiga hari lebih awal.”

Kasma hanya melengkapkan lapan daripada 20 pusingan di GP Qatar dengan Tetsuta Nagashima yang mewakili pasukan Red Bull KTM Ajo muncul pemenang dengan catatan keseluruhan terpantas, 40 minit 00.192 saat.

Berita Harian X