Sabtu, 18 April 2020 | 11:03pm
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif.

SIC, penganjur susun semula jadual

KUALA LUMPUR: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan mengadakan perbincangan bersama pihak penganjur tempatan bagi membolehkan kesemua perlumbaan yang mempunyai kalendar saingan di litar berkenaan pada musim ini dapat diselesaikan sebelum hujung tahun ini.

Antara saingan yang menggunakan litar SIC bagi musim ini adalah Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), Kejuaraan Cub Prix Malaysia dan Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) selain beberapa saingan empat roda yang lain antaranya Siri Kejuaraan Malaysia (MCS) dan Sepang 1000KM Encurance (S1K).

Pusingan pertama dan pembuka tirai ARRC 2020 sempat berlangsung di litar Sepang awal Mac lalu namun berdasarkan kalendar asal sebelum ini, trek berkenaan sekali lagi dijadual menjadi lokasi perlumbaan untuk saingan Asia itu pada hujung September ini.

Kejuaraan Cub Prix yang menjadi pentas mencungkil bakat muda tempatan pula, pada asalnya dijadual berlangsung di Sepang pada penghujung November – beberapa minggu selepas jadual asal Grand Prix (GP) Malaysia berlangsung.

Kesemua kalendar saingan bagi musim 2020 termasuk Kejuaraan Motosikal Dunia tertangguh disebabkan penularan wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.

“Kami akan berbincang semula dengan pihak penganjur daripada kesemua (penganjur) tempatan untuk kita susun semula (jadual perlumbaan) sehingga hujung tahun ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC yang baharu, Azhan Shafriman Hanif.

Shafriman yang menggantikan Datuk Razlan Razali turut mengharapkan sokongan padu daripada peminat sukan permotoran negara untuk kembali menghangatkan suasana perlumbaan sekiranya situasi semasa pulih seperti sedia kala.

“Saya menyeru kepada peminat sukan permotoran untuk datang ke SIC, berikan sokongan kepada saingan sukan permotoran dan sokongan SIC sebagai hub sukan permotoran dan hiburan di Malaysia.

“Itu sasaran saya, luangkan masa. Datang beramai-ramai dan bantu saingan sukan permotoran tempatan,” katanya.

Berita Harian X