Isnin, 20 April 2020 | 7:55am

F1: Litar Silverstone sedia anjur dua perlumbaan

LONDON: Penganjur Grand Prix (GP) Britain berkata Litar Silverstone bersedia menjadi tuan rumah dua perlumbaan berturut-turut bagi menyelamatkan kempen Formula Satu (F1) musim ini yang ditangguhkan susulan pandemik COVID-19.

Setakat ini, sembilan daripada 22 perlumbaan sudah pun ditangguhkan atau dibatalkan dengan GP Perancis dan Belgium dijangka turut menyertai senarai itu.

Situasi itu menyaksikan GP Austria yang dijadual berlangsung pada 3 Julai depan bakal menjadi perlumbaan pertama musim ini diikuti GP Britain dua minggu selepas itu.

Bagaimanapun, Pengarah Urusan Litar Silverstone, Stuart Pringle, berkata perbincangan sudah pun dimulakan dengan bos F1 untuk litar berkenaan menganjurkan dua perlumbaan berturut-turut.

"Kami membincangkan mengenai semua pilihan yang ada termasuk menganjurkan dua perlumbaan dalam satu hujung minggu dan dua perlumbaan pada dua hujung minggu berturut-turut.

"Saya yakin dengan kemampuan kami untuk melaksanakannya. Kami mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas...kami boleh gunakannya," katanya.

GP Britain yang dijadual pada 19 Julai dijangka berlangsung secara tertutup tanpa kehadiran penonton bagi membendung penularan COVID-19. - AFP

Berita Harian X