X
Jumaat, 1 Mei 2020 | 8:30pm
Pengarah Urusan Safe Aim Mutual (SAM) Sdn Bhd, Ron Hogg. - Foto Ihsan Flickr
Pengarah Urusan Safe Aim Mutual (SAM) Sdn Bhd, Ron Hogg. - Foto Ihsan Flickr

Komuniti sukan permotoran tempatan lega

KUALA LUMPUR: Komuniti sukan permotoran tempatan boleh menarik nafas lega dengan penganjuran acara sukan bermotor dibenarkan walaupun perlu dilangsungkan dalam atmosfera lebih kecil ataupun tertutup.

Antara kejohanan yang menerima tempias susulan COVID-19 adalah Kejuaraan Cub Prix Malaysia dengan tirai musim 2020 sepatutnya berlangsung di Tangkak, Johor pada 14 dan 15 Mac lalu namun ditunda ke satu tarikh baharu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam tempoh berkenaan, komuniti Cub Prix yang terbabit secara langsung dan sebaliknya turut terjejas, memandangkan sumber pendapatan utama mereka adalah menerusi perlumbaan dan penajaan.

Dengan pengumuman dilakukan kerajaan semalam, tentunya ia melegakan walaupun norma perlumbaan selepas ini kemungkinan berbeza berbanding kebiasaan.

"Sekiranya berlangsung dalam keadaan tertutup, kami akan menggunakan trek (kekal). Jadi ia tidak lagi seperti kebiasaan seperti di Batu Kawan atau yang lain.

"Apabila tertutup, kemungkinan menggunakan trek itu cerah contohnya seperti litar di Terengganu, trek Elite (Speedway Plus) dan litar go kart Sepang," kata Pengarah Urusan Safe Aim Mutual (SAM) Sdn Bhd, Ron Hogg yang bertindak selaku promoter Kejuaraan Cub Prix Malaysia.

Beliau berharap perlumbaan pertama Cub Prix bagi musim 2020 dapat dianjurkan pada Jun atau Julai ini.

Dalam pada itu, Ron turut memberitahu yang pihaknya sudah menghantar kertas kerja kepada pihak berwajib mengenai susun atur penganjuran Cub Prix selepas tamat tempoh PKP nanti.

"Kami sudah menghantar kertas kerja mengenai perancangan yang perlu dilakukan selepas PKP contohnya seperti mengehadkan bilangan orang dalam acara dianjurkan. Jadi perancangan itu sudah ada.

"Walaupun begitu, buat masa ini kami perlu membuat penelitian mengenai apakah yang diperlukan lagi," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X