X
Isnin, 4 Mei 2020 | 7:03pm
Fabio Quartararo (kiri) dan Valentino Rossi.
Fabio Quartararo (kiri) dan Valentino Rossi.

Rossi ganti tempat Quartararo di PETRONAS Yamaha SRT?

KUALA LUMPUR: Topik perbualan mengenai siapakah pengganti Fabio Quartararo dalam pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT) bagi saingan musim depan sentiasa hangat diperkatakan.

Sehingga hari ini, persoalan itu masih bermain di fikiran peminat tegar sukan permotoran selepas pasukan utama pengeluar Yamaha, Yamaha Factory Racing MotoGP menandatangani Quartararo untuk musim depan.

Pasukan itu turut melanjutkan kontrak pelumbanya Maverick Vinales sehingga 2022, sekali gus meletakkan kemungkinan besar yang legenda Valentino Rossi bakal beralih ke pasukan satelit Yamaha, PETRONAS Yamaha SRT.

"Di media sosial semua bertanya, siapakah yang akan menggantikan Fabio pada tahun depan," kata Prinsipal pasukan PETRONAS Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali dalam satu sesi soal jawab bersama penyokong di laman Facebook rasmi pasukan, semalam.

"Jujurnya, kami mempunyai beberapa nama pelumba yang berada dalam radar kami pada tahun ini. Namun dengan tiada perlumbaan atau kemungkinan hanya 10 perlumbaan pada musim ini, kami tidak tahu apakah yang bakal berlaku.

"Ada perbualan hangat yang mengatakan Valentino Rossi bersama kami, ia boleh menjadi satu kemungkinan. Apapun buat masa ini, kami tidak tahu lagi.

"Kami perlu melihat kepada semua pilihan yang ada, mungkin pada Julai atau Ogos, kami perlu memuktamadkan mengenai pengganti Fabio," katanya.

Pelumba dari Perancis, Quartararo mengejutkan ramai pihak pada musim pertamanya dalam kelas MotoGP, tahun lalu.

Quartararo, 21 menamatkan saingan musim lalu dengan 192 mata untuk berada di tangga kelima keseluruhan malah turut dinobatkan selaku pelumba muka baharu (rookie) terbaik kelas perdana

Berita Harian X