Selasa, 5 Mei 2020 | 8:01pm
Gambar fail, aksi Cub Prix Malaysia Petronas di Litar Lumba Tangkak, Johor Bahru. - Foto ihsan Petronas Cub Prix
Gambar fail, aksi Cub Prix Malaysia Petronas di Litar Lumba Tangkak, Johor Bahru. - Foto ihsan Petronas Cub Prix

Pasukan kejuaraan Cub Prix sedia patuhi SOP, sambung perlumbaan

KUALA LUMPUR: Pembatalan musim Kejuaraan Cub Prix 2020 susulan pandemik COVID-19 bukanlah satu pilihan terbaik dengan pasukan yang beraksi bersedia menerima sebarang prosedur operasi standard (SOP) yang bakal ditetapkan kerajaan mahupun penganjur.

Bagi mereka, saingan musim ini harus diteruskan apatah lagi komitmen masing-masing terikat kepada penaja meskipun suasana kejuaraan perlu mengikut normal baharu selepas ini.

Bagi pasukan juara bertahan CP150 dan CP115, PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing, mereka tiada masalah untuk mempraktikkan 'gaya hidup baharu' selepas ini di litar perlumbaan.

"Pasukan kami, tidak ada masalah kerana disiplin paling penting (dalam pasukannya). Kami sedang menunggu apakah SOP yang akan diberitahu nanti.

"SOP itu saya anggap sebagai normal baharu selepas PKP (Perintah Kawalan Berkurung). Perkara ini mungkin berlanjutan sehingga 2021 dan semua rakyat Malaysia perlu menghadapinya.

"Jadi, ia tak boleh dielakkan. Semua persatuan, pekerja, masyarakat perlu hadapinya dan sama juga dengan Cub Prix, pun kena ada (SOP).

"Jadi kena ikut (SOP ini) supaya Cub Prix tidak dibatalkan," kata pengurus teknikal pasukan, Mohammad Syafari Saad.

Kalendar Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2020 yang sepatutnya membuka tirai di Tangkak, Johor pada pertengahan Mac lalu sebelum PKP dilaksanakan.

Sementara itu, ketua penyelaras pasukan Honda RCB SOLARALERT Cilik Team, Razali Ahmad menyifatkan idea membatalkan saingan sebagai kurang bernas.

"Nak batal, itu kurang bernas kerana kami sudah banyak berbelanja untuk persiapan. Jadi bagaimana untuk kami terangkan kepada penaja jika dihentikan?.

"Jika diberikan kelonggaran untuk meneruskan Cub Prix dengan bersyarat, kami tentunya akan mempertimbangkannya," kata Razali.

Minggu lalu, komuniti sukan permotoran tempatan menarik nafas lega apabila sukan permotoran diberi kelonggaran untuk beroperasi namun perlu mengikut garis panduan ditetapkan termasuk jarak fizikal satu meter.

Bagi mereka, SOP yang bakal ditetapkan nanti tentunya akan dipatuhi sepenuhnya dengan kepentingan utama adalah meneruskan perlumbaan meskipun dalam keadaan tanpa penonton.

Berita Harian X