Selasa, 12 Mei 2020 | 3:52pm
Antara peserta yang menyertai F4 SEA di Litar Antarabangsa Sepang, pada April 2018. - Arkib NSTP
Antara peserta yang menyertai F4 SEA di Litar Antarabangsa Sepang, pada April 2018. - Arkib NSTP

Jadual perlumbaan F4 SEA dipendekkan, semua di Sepang

KUALA LUMPUR: Kejuaraan Formula 4 Asia Tenggara (F4 SEA) dijadual mengumumkan kalendar saingan bagi musim 2020 yang dipendekkan dengan semua pusingan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Bagaimanapun pengumuman rasmi mengenainya hanya akan dibuat selepas menerima persetujuan daripada pihak Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

Kalendar ini bakal menyaksikan 16 perlumbaan dalam empat pusingan di Sepang bagi mengurangkan risiko terhadap penularan wabak COVID-19.

"Peminat sama sekali tidak akan terlepas aksi menarik saingan dengan perlumbaan akan diteruskan dan dipaparkan secara langsung di siaran Fox, laman web baharu kami serta laman sosial akan sentiasa dikemaskinikan," kata Promoter F4 SEA, Peter Thompson.

F4 SEA adalah salah satu medan awal yang diiktiraf FIA dalam menuju karier pelumba professional dengan nada antara peserta sudah menandatangani kontrak bersama Sauber dan Renault F1 Junior Team.

Thompson dalam pada itu menjangkakan: "F4 SEA menghasilkan pesaingan berkelas dunia dan saya yakin salah seorang daripada pemenang 2019, Hadrien David dari Perancis, Lucca Allen (Ireland) dan Elias Seppanen (Finland) akan menjadi juara dunia pada satu masa nanti."

Sejak empat tahun lalu, kejuaraan peringkat Asia Tenggara ini memberi tumpuan kepada membina juara Asia dan antarabangsa selain melatih tenaga kerja dari Malaysia menjadi jurutera dan juruteknik berkemahiran tinggi.

Pada tahun terakhir Formula Satu (F1) berlangsung di Sepang, pemenang bagi F4 SEA pula dimenangi pemandu Malaysia, Nazim Azman sebelum melebarkan sayap ke Kejuaraan British F3, selepas itu.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X