Khamis, 14 Mei 2020 | 12:36pm
Hamilton mengetuai Senarai Atlet Terkaya British dengan kekayaan RM1.185 billion.
Hamilton mengetuai Senarai Atlet Terkaya British dengan kekayaan RM1.185 billion.

Hamilton paling kaya

LONDON: Kemungkinan berlakunya pertukaran Lewis Hamilton ke Ferrari bukanlah kerana wang selepas pemandu Mercedes itu diumumkan sebagai seorang daripada atlet paling kaya dalam sejarah British.

Bintang Formula Satu (F1) itu berada dalam pertarungan merebut wang paling lumayan antara dua pasukan terbesar dengan Sebastian Vettel dijangka akan meninggalkan Ferrari.

Mercedes dilaporkan bersedia untuk menaikkan kontrak sedia ada daripada £40 juta pound (RM211.71 juta) kepada £60 juta pound (RM317.57 juta) bagi mengekalkan seorang daripada pemandu paling berjaya dalam sejarah moden itu.

Namun juara dunia berusia 35 tahun itu kini hanya menyasarkan untuk menang lebih banyak gelaran selepas dia diumumkan memiliki kekayaan bernilai £224 juta pound (RM1.185 bilion).

Di kedudukan teratas Senarai Atlet Terkaya Sunday Times, kekayaan Hamilton bertambah £37 juta pound (RM195.84 juta) hasil kontrak sedia ada Mercedes selain penajaan lain.

Dia kini mengatasi atlet lain seperti David Beckham, yang ketika bersara pada 2013 memiliki kekayaan £200 juta pound (RM1.058 bilion).

Selain itu, Rory McIlroy mengumpul £170 juta pound (RM899.78 juta) - naik £32 juta pound (RM169.37 juta) daripada tahun lalu - dan kekayaan Anthony Joshua naik £58 juta pound (RM306.99 juta) kepada £107 juta pound (RM566.33 juta).

Petinju British itu menerima £18 juta pound (RM95.27 juta) selepas tewas kepada Andy Ruiz Jr, sebelum menerima sejumlah £60 juta pound (RM317.57 juta) dalam perlawanan semula.

Kekayaan Joshua meletakkannya kedua dalam senarai Senarai Atlet Muda Terkaya, satu-satunya atlet bukan dalam kalangan bukan pemain bola sepak.

AJ di bawah Gareth Bale, yang meningkat bersama Real Madrid sejak enam tahun lalu menyaksikan dia dikatakan bernilai £114 juta pound (RM603.38 juta) — naik £20 juta pound (RM105.86 juta).

Senarai seterusnya dikuasai pemain bola sepak dengan Paul Pogba (naik £13 juta pound (RM68.81 juta) kepada £50 juta pound (RM264.64 juta) dan Kevin De Bruyne (naik £9 juta pound (RM47.64 juta) kepada £34 juta (RM179.96 juta) di kedudukan ketiga dan keempat.

Pogba ialah seorang daripada pemain Manchester United dalam senarai itu termasuk David De Gea (£34m, RM179.96 juta), Anthony Martial (£20m, RM105.86 juta), Luke Shaw (£19m, RM100.56 juta) dan Odion Ighalo (£18m, RM95.27 juta). - Agensi

Berita Harian X