Jumaat, 15 Mei 2020 | 4:38pm

Zeelenberg tidak dapat lupakan kenangan manis di Litar Jerez

KUALA LUMPUR: Litar Jerez menjadi detik paling manis buat Pengurus Pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT), Wilco Zeelenberg pada musim pertama penampilan pasukan dalam kelas perdana di Kejuaraan Motosikal Dunia, tahun lalu.

Di litar berkenaan satu kejutan besar berlaku apabila kedua-dua pelumbanya - Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli - menempah kedudukan perlumbaan Grand Prix (GP) Sepanyol masing-masing di petak pertama dan kedua sekali gus, membuktikan betapa pasukan sudah berusaha sebaik mungkin pada tahun pertama penampilan.

Bagi Zeelenberg, ia adalah satu detik luarbiasa untuk melihat kedua-dua pelumbanya 'tersenyum gembira' - sesuatu yang dianggapnya sebagai sukar untuk disaksikan oleh seorang pengurus pasukan sepertinya.

"Secara peribadinya, detik paling menarik adalah ketika Fabio menyambar petak utama di Jerez dan petak kedua pula diisi Franco," katanya. "Dengan petak pertama dan kedua ini dalam sebuah pasukan, tentunya sukar buat seorang pengurus pasukan untuk melihat kedua-dua pelumba gembira.

"Dan daripada sudut itu, kami mempunyai dua pelumba yang gembira. Fabio gembira dengan petak utama manakala Franco dengan petak kedua. Pasukan sudah melakukan yang terbaik dan ini satu detik terbaik. Ia sukar untuk melihat kedua-dua pelumba begitu gembira."

Begitupun kegembiraan berkenaan tidak dapat dijelmakan dalam perlumbaan apabila Quartararo tidak menamatkan perlumbaan manakala Morbidelli meraih sembilan mata selepas menemui garisan penamat ketujuh. Perlumbaan ketika itu dimenangi pelumba Honda yang juga juara bertahan, Marc Marquez.

PETRONAS Yamaha SRT menamatkan musim lalu dengan positif apabila berada di tangga keempat dalam kedudukan pasukan kelas perdana berkenaan dengan 307 mata di belakang pasukan utama Yamaha, Monster Energy Yamaha MotoGP (385 mata).

Pasukan Ducati berada di tangga kedua dengan 445 mata manakala Repsol Honda Team, 458 mata.

Quartararo turut membolot gelaran muka baharu (rookie) terbaik selain menamatkan perlumbaan di tempat kelima keseluruhan dengan 192 mata manakala Morbidelli di tempat ke-10, 115 mata.

Berita Harian X