Ahad, 28 Jun 2020 | 4:06pm
PELUMBA Liqui Moly Intact SIC Junior Team, Adam Norrodin.
PELUMBA Liqui Moly Intact SIC Junior Team, Adam Norrodin.

Adam Norrodin sasar 5 kelompok terbaik tahun ini

KUALA LUMPUR: Penularan pandemik COVID-19 tidak akan menjadi penghalang buat pelumba negara, Adam Norrodin untuk memulakan musim 2020 Kejuaraan Moto2 Eropah (CEV) yang dijadual membuka tirainya di Litar Estoril, Portugal pada 7 Julai ini.

Pelumba Liqui Moly Intact SIC Junior Team itu dijadual berlepas ke Estoril esok dengan membawa harapan tinggi menamatkan musim yang tertangguh susulan COVID-19 di kelompok lima terbaik keseluruhan.

"Sasaran saya tetap tinggi, saya mengharapkan satu permulaan awal musim yang baik kerana ingin mencapai kedudukan yang baik dalam kejuaraan. Saya meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok lima terbaik pada tahun ini.

"Jadi saya perlu memberi sepenuhnya daripada awal saingan, apatah lagi CEV cuma berbaki tidak banyak pusingan disebabkan COVID-19. Jadi, saya kena lebih fokus daripada awal musim lagi," kata Adam yang sebelum ini menamatkan musim pertamanya di saingan Eropah dengan berada di tangga ke-15 keseluruhan.

Tahun lalu juga menjadi tahun bermakna buat Adam untuk mengumpul pengalaman dalam saingan Moto2 dunia apabila diberi peluang menggantikan pelumba PETRONAS Sprinta Racing Khairul Idham Pawi yang mengalami kecederaan serius di jari.

Tugasan Adam menggantikan Khairul Idham bermula di Grand Prix (GP) San Marino sehingga pusingan kemuncak musim 2019 di GP Valencia dengan penamat terbaiknya berada di tangga ke-22 di GP Jepun.

Kalendar musim 2020 yang lebih padat susulan COVID-19 mempunyai lapan pusingan dengan membabitkan lima litar utama di sekitar Eropah seperti Litar Jerez, Litar Algarve (Portugal), Litar Aragon dan Litar Ricardo Tormo.

Kalendar CEV -

7 Julai - Litar Estoril (Kejuaraan Remaja Moto3 Dunia, Moto2 Eropah, European Talent Cup)

13 Julai - Litar Algarve (Kejuaraan Remaja Moto3 Dunia, Moto2 Eropah, European Talent Cup)

29 Ogos - Litar Jerez (Kejuaraan Remaja Moto3 Dunia, Moto2 Eropah, European Talent Cup)

30 Ogos - Litar Jerez (Kejuaraan Remaja Moto3 Dunia, Moto2 Eropah, European Talent Cup)

3 Oktober - Litar Aragon (Kejuaraan Remaja Moto3 Dunia, Moto2 Eropah, European Talent Cup)

4 Oktober - Litar Aragon (Kejuaraan Remaja Moto3 Dunia, Moto2 Eropah, European Talent Cup)

31 Oktober - Litar Ricardo Tormo (Kejuaraan Remaja Moto3 Dunia Eropah, Moto2, European Talent Cup)

1 November - Litar Ricardo Tormo (Kejuaraan Remaja Moto3 Dunia Eropah, Moto2, European Talent Cup)

Berita Harian X