Isnin, 29 Jun 2020 | 6:38pm
Khairul Idham sasar perbaiki corak tunggangan dan keputusan.
Khairul Idham sasar perbaiki corak tunggangan dan keputusan.

Semangat SuperKIP membara

KUALA LUMPUR: Khairul Idham Pawi tidak akan menjadikan laluan berliku dihadapinya sejak menyertai PETRONAS Sprinta Racing sebagai penghalang kariernya dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia.

Pelumba berusia 21 tahun itu hanya sempat menyertai tiga perlumbaan awal saingan Moto2 dalam kalendar 2019 sebelum mengalami kecederaan serius di bahagian jari kelingking yang memaksanya berehat hingga penghujung musim.

Khairul Idham atau dikenali SuperKIP sekali lagi berdepan halangan musim pertamanya dalam saingan Moto3 bersama pasukan tahun ini apabila COVID-19 mengganggu kalendar kejuaraan dengan pusingan pembuka tirai di Grand Prix (GP) Qatar hanya membabitkan dua kelas perlumbaan - Moto2 dan Moto3 - manakala saingan perdana MotoGP terpaksa dibatalkan.

Perlumbaan untuk ketiga-tiga kelas ditangguhkan sehingga pemegang hak penganjuran kejuaraan Dorna mengumumkan kalendar baharu yang dijadual bermula di GP Sepanyol, 19 Julai ini sekali gus memberi sinar harapan buat SuperKIP mencari rentak seperti kegemilangannya pada 2016.

Empat tahun lalu, Khairul Idham yang ketika itu bersama Honda Team Asia mencipta sejarah tersendiri apabila meraih dua kemenangan di GP Argentina dan Jerman sebelum pasukan mengangkatnya ke kelas pertengahan pada musim 2017.

Khairul Idham menyertai pasukan sehingga 2018 sebelum 'dipinang' kem Moto2 PETRONAS Sprinta Racing pada 2019 dan hanya sempat beraksi di GP Qatar, GP Argentina dan GP Amerika Syarikat sebelum insiden berkenaan berlaku di GP Sepanyol.

Justeru, pasukan meletakkan Khairul Idham untuk kembali beraksi dalam kelas Moto3 musim ini yang tentunya menjadi peluang untuknya membuktikan kemampuan.

"(Perjalanan karier) bagi saya agak sukar. Macam tahun lalu, hanya tiga perlumbaan dan (selepas itu) terjatuh dan saya hanya ada satu perlumbaan saja pada musim 2020 pada Mac sebelum COVID-19.

"Apapun, ia bukan halangan untuk saya mempertingkatkan lagi keputusan dan tunggangan. Tahun lalu paling sukar buat saya, tahun ini harap semuanya OK sebab masih boleh berlumba.

"Sasaran 2020, saya akan cuba memperbaiki corak tunggangan dan cuba mendapatkan penamat dalam kelompok mata. Sudah pasti saya inginkan seperti 2016.

"Biar bagaimanapun halangan yang ada ini (insiden dan COVID-19), saya akan teruskan kerja keras dan latihan untuk dapatkan hasil yang diinginkan semula. Saya akan bagi 100 peratus dengan apa saya lakukan," kata Khairul Idham.

Berita Harian X