X
Isnin, 13 Julai 2020 | 11:41am
AKSI Adam di Litar Algarve. - Foto Ihsan ZK Racing
AKSI Adam di Litar Algarve. - Foto Ihsan ZK Racing

Adam bermula di petak keempat

KUALA LUMPUR: Pelumba negara di Kejuaraan Moto2 Eropah (CEV), Adam Norrodin membuka langkah positif pada pusingan kedua musim di Litar Algarve, Portugal - trek yang kali terakhir dijejakinya enam tahun lalu.

Pada sesi kelayakan malam tadi, Adam meletakkan dirinya berada dalam kedudukan lima terbaik dan dijadual memulakan perlumbaan daripada petak keempat dengan catatan terbaiknya pada sesi berkenaan, 1 minit 46.615 saat.

"Dalam sesi kelayakan, saya mempunyai perasaan yang baik yang saya akan dapat melakukan catatan masa sepusingan bagus di Algarve," kata pelumba Liqui Moly Intact SIC Junior Team itu.

"Potensi untuk saya menamatkan perlumbaan dalam kelompok lima terbaik sangat tinggi.

"Saya mempunyai lebih keyakinan di sini berbanding saingan sebelum ini di Estoril. Apapun, saya masih perlu berusaha lebih gigih kerana dalam sesi kelayakan kedua, saya sedikit bergelut dalam keadaan panas.

"Masih ada banyak yang perlu dilakukan untuk perlumbaan (hari ini) dan saya akan pastikan yang saya boleh memberikan yang terbaik."

Adam menamatkan sesi kelayakan pertama di tempat keempat dengan catatan 1:46.615s sebelum sedikit bergelut di sesi seterusnya dengan berada di tempat kesembilan, 1:47.276s.

Yari Montella dari Itali menempah petak pertama dengan catatan terbaiknya 1:45.468s manakala Niki Tuuli (Finland) berada di petak kedua, 1:45.892s.

Lukas Tulovic dari Denmark berada di petak ketiga, 1:46.437s.

Minggu lalu, Adam menamatkan dua perlumbaan pusingan pertama musim di Litar Estoril masing-masing di tempat kesembilan dan kelapan.

Bekas pelumba pasukan Moto3 PETRONAS Sprinta Racing itu kini berada di kedudukan kesembilan keseluruhan dalam carta pelumba saingan dengan 15 mata.

Kali terakhir Adam beraksi di Litar Algarve adalah pada 2016 ketika dia menyertai saingan Kejuaraan Remaja Moto3 Dunia pada usia 16 tahun bersama pasukan SIC-Ajo.

Selain Adam turut menyertai saingan di Eropah musim ini adalah Muhammad Sharul Ezwan.

Pelumba pasukan Liqui Moly Intact SIC Junior Team itu menyertai perlumbaan European Talent Cup (ETC).

Seorang lagi pelumba muda negara, Syarifuddin Azman pula menyertai saingan Kejuaraan Remaja Moto3 Dunia bersama pasukan Monlau Motorsport.

Info Jadual CEV

Hari ini

4 ptg - Moto2 (Warm Up)

4.20 ptg - ETC (warm Up)

4.45 ptg - Moto3 (Warm Up)

6 ptg - Moto2 (Perlumbaan 1)

7 mlm - ETC (Perlumbaan 1)

8 mlm - Moto3 (Perlumbaan 1)

9 mlm - Moto2 (Perlumbaan 2)

*Semua dalam waktu Malaysia

Berita Harian X