Ahad, 2 Ogos 2020 | 1:24pm
Hafizh Syahrin. - Foto Asyraf Hamzah
Hafizh Syahrin. - Foto Asyraf Hamzah

Hafizh Syahrin akur tak dapat beraksi di Sepang

KUALA LUMPUR: Pengumuman pembatalan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mengundang rasa kecewa pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah.

Namun begitu, baginya ia adalah satu keputusan tepat dalam usaha mengekang penularan COVID-19 yang melanda dunia ketika ini.

"Tentunya tak boleh bertemu peminat atau memberikan yang terbaik di Sepang nanti apatah lagi Sepang adalah salah satu trek kegemaran dan saya sentiasa akan memberikan yang terbaik (di Sepang).

"Apapun, untuk tahun ini kami tidak boleh berlumba di Sepang. InsyaAllah pada perlumbaan akan datang, saya akan memberikan yang terbaik," kata pelumba pasukan Openbank Aspar Team Moto2 itu.

Kelmarin, SIC mengumumkan GP Motosikal Malaysia yang sepatutnya berlangsung pada 30 Oktober ini, terpaksa dibatalkan susulan pandemik COVID-19.

Pemegang hak penganjuran kejuaraan, Dorna turut mengumumkan pembatalan GP Motosikal Argentina, Thailand dan Amerika Syarikat.

Untuk rekod, ini adalah kali pertama GP Motosikal Malaysia tidak dianjurkan selepas lebih 20 tahun SIC menjadi hos kepada perlumbaan berprestij itu.

Selain Hafizh, turut membawa nama negara di Kejuaraan Motosikal Dunia 2020 adalah pelumba PETRONAS Sprinta Racing, Khairul Idham Pawi dalam kelas Moto3 dan pelumba ONEXOX TKKR SAG Team, Kasma Daniel Kasmayudin (Moto2).

Selepas tiga pusingan awal bagi musim 2020, Hafizh kini berada di kedudukan ke-15 daripada 30 pelumba Moto2 dengan 10 mata keseluruhan.

Keputusan terbaiknya adalah menemui garisan penamat di tempat keenam di GP Sepanyol pertengahan bulan lalu selepas memulakan kempen 2020 di GP Qatar dengan berada di tempat ke-19.

Pelumba berusia 26 tahun itu tidak menamatkan perlumbaan di litar sama di Jerez pada GP Andalusia seminggu selepas itu apabila keadaan cuaca yang begitu panas menjejaskan rentak dan juga prestasi jentera Speed Up ditunggangnya.

"Dengan prestasi di Jerez, saya akan melakukan yang lebih baik dan belajar di mana kelemahan saya. Doakan pelumba Malaysia dapat melakukan yang terbaik pada minggu depan," katanya yang dijadual menyertai perlumbaan pusingan keempat di GP Republik Czech dari 7 hingga 9 Ogos ini.

Berita Harian X