Selasa, 18 Julai 2017 | 6:35am

Muhammad Haikal idam slot 4x100m


MUHAMMAD Haikal Hanafi (kiri) dan Badrul Hisyam. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUALA LUMPUR: Pelari pecut dari Negeri Sembilan, Muhammad Haikal Hanafi mengharapkan slot skuad kuartet 4x100m dalam Sukan SEA selepas muncul pelari terbaik negara pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia ke-94 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam tadi.

Ketiadaan Raja Pecut negara, Khairul Hafiz Jantan pada kejohanan Pra-Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu menyaksikan Muhammad Haikal meraih perak dengan catatan 10.55s, mengatasi pelari pilihan seperti Badrul Hisyam Abdul Manap dari Melaka yang meraih gangsa (10.62s) dan Nixson Kennedy dari Sarawak di tempat keempat (10.67s).

Peserta dari Maldives, Hassan Said meraih emas selepas menamatkan larian dalam masa 10.49s.

"Saya bersyukur dengan pencapaian ini walaupun tak dapat melakukan catatan peribadi terbaik saya, iaitu 10.48s yang dibuat di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak tahun lalu.

"Saya berharap nama saya akan terpilih ke dalam skuad 4x100m Sukan SEA nanti," kata Muhammad Haikal kepada pemberita selepas acara itu.

Berdasarkan prestasi sebelum ini, Khairul, Jonathan Nyepa, Badrul Hisyam dan Nixson adalah pilihan untuk skuad 4x100m negara, manakala Muhammad Haikal dan Muhammad Aqil Yasmin berada dalam senarai simpanan, namun keputusan hari ini mungkin boleh menyebabkan sedikit perubahan dalam senarai itu.

Sementara itu, dalam acara 100m wanita, Siti Fatimah Mohamad dari Johor meraih emas selepas mencatatkan 11.91s, mengatasi S. Komalam Shally dari Terengganu yang mengekori rapat dengan 11.97s.

Pingat gangsa menjadi milik Eloiza Luzon dari Filipina yang mencatatkan 11.99s.

Bagi acara lompat kijang lelaki, pemenang pingat emas Sukan SEA Singapura 2015, Muhammad Hakimi Ismail meraih emas dengan lompatan sejauh 16.33m.

Pingat perak menjadi milik Ronne Malipay dari Filipina yang melakukan lompatan sejauh 15.46m, manakala Jonathan Larus dari Sabah terpaksa berpuas hati dengan gangsa dengan catatan 14.72m. -- BERNAMA

1778 dibaca
Berita Harian X