Selasa, 18 Julai 2017 | 6:43am

KL2017: Thailand sasar 14 emas olahraga

KUALA LUMPUR: Thailand bertekad memberi saingan sengit dalam acara balapan dan padang kepada Malaysia pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bulan depan dengan mensasarkan meraih 14 pingat emas.

Pengurus pasukan olahraga Thailand, Suchart Singhaklang berkata mereka menyandarkan harapan meraih pingat emas dalam acara 4x100m lelaki, 4x400m, rejam lembing, dekathlon serta lempar cakera dan lompat bergalah wanita.

Katanya sasaran itu lebih rendah daripada pencapaian 17 pingat emas pada Sukan SEA sebelum ini di Singapura berikutan cabaran semakin sengit yang diberi Malaysia, Vietnam dan Indonesia.

Sementara itu, bagi acara pecut 100m dan 200m, beliau berkata, pemenang tiga pingat emas acara 100m, 200m dan 4x100m pada Sukan SEA Myanmar 2013, Jirapong Meenapra, dan olahragawan muda, Siripol Punpa, yang meraih emas pada Sukan Sekolah-sekolah ASEAN di Singapura pada Sabtu, akan mencabar kehebatan raja pecut Malaysia, Khairul Hafiz Jantan, untuk merebut gelaran raja pecut Sukan SEA.

"Semua atlet kami kini menjalani latihan di Bangkok dan menyertai pelbagai kejohanan tempatan di Thailand," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia ke-94 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini semalam.

Kira-kira 266 atlet dari sembilan negara termasuk Laos, Brunei, Indonesia, Singapura, Sri Lanka dan Filipina mengambil bahagian dalam kejohanan dua hari itu, yang juga dikenali sebagai kejohanan pra-Sukan SEA, bagi menguji kelengkapan, venue dan pegawai teknikal sebelum Malaysia menjadi tuan rumah temasya sukan dua tahun sekali itu dari 19 hingga 30 Ogos.

Ditanya tentang stadium yang baru dibaik pulih itu, Singhaklang yang pada mulanya memuji kualiti infrastruktur dan kemudahan yang disediakan di situ, bagaimanapun mengaku trek mondo baharu di stadium berkenaan adalah terlalu lembut dan atletnya tidak biasa dengan keadaan demikian.

"Kami perlu mula menjalani latihan di trek lembut untuk sebulan akan datang agar cukup bersedia untuk menghadapi Sukan SEA nanti. Kebanyakan atlet kami, termasuk Jirapong, tidak dapat menyertai acara ini kerana letih setelah bertanding dalam terlalu banyak kejohanan tempatan dan menjalani latihan keras di Thailand," katanya.

Pada Sukan SEA Singapura 2015 dan Sukan SEA Myanmar 2013, Thailand membolot pingat bagi acara olahraga dengan meraih 17 emas, 13 perak dan sembilan gangsa, manakala pada edisi 2011 di Indonesia, negara itu mencatat kutipan pingat 14-9-9 untuk menduduki tangga teratas. -- BERNAMA

331 dibaca
Berita Harian X