Isnin, 24 Julai 2017 | 10:16pm

Ziyad, Mohd Ridzuan dapat 'durian runtuh'


TIGA atlet paralimpik negara (dari kiri), Mohd Ridzuan Mohd Puzi, Mohamad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Tiga atlet paralimpik negara yang memenangi pingat pada Kejohanan Olahraga Paralimpik Dunia di London layak untuk menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail ketika mengesahkan perkara itu berkata, Mohamad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly yang memenangi emas akan menerima RM80,000 manakala Mohd Ridzuan Mohd Puzi yang meraih perak bakal menerima RM40,000.

Ziyad turut meraih tambahan RM10,000 kerana berjaya memecahkan rekod dunia dalam acara lontar peluru kategori (T20).

Beliau berharap kejayaan Ziyad dan Latif di London bakal memberikan motivasi kepada mereka untuk mencipta sejarah dengan kedua-duanya buat pertama kali akan beraksi pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, bulan depan dan bersaing bersama atlet normal.

"Saya harap mereka akan kekal konsisten...ini adalah peluang untuk mereka mencipta sejarah menjadi atlet paralimpik pertama memenangi pingat Sukan SEA dan Para ASEAN. 

"Saya percaya mereka ada potensi untuk melakukannya," kata Shapawi ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan meraikan kejayaan atlet di London, sebentar tadi.

Turut hadir, Presiden MPM, SM Nasarudin SM Nasimuddin dan Naib Presiden MPM, Jason Lo.

Ziyad bukan saja memenangi emas tetapi dia juga memecahkan rekod dunia miliknya dalam acara lontar peluru (F20) manakala Latif mengekalkan emas lompat jauh kategori (T20). Ridzuan pula memenangi perak acara 100 meter kategori (T36).

Sementara itu, SM Nasarudin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan MSN yang berterusan memberikan sokongan kepada atlet paralimpik untuk melakar kejayaan di pentas antarabangsa.

"Saya juga berterima kasih kepada jurulatih mereka yang terus bekerja keras membimbing atlet-atlet ini. Kita dapat lihat konsistensi mereka sejak daripada Paralimpik Rio 2016...saya harap ini akan berterusan," katanya.

SM Nasirudin bagaimanapun masih tidak mahu mendedahkan mengenai ganjaran kepada atlet yang memenangi pingat di London kerana mahu menunggu sehingga tamat Sukan Para ASEAN, September ini.

Berita Harian X