Isnin, 24 Julai 2017 | 10:30pm

Ziyad tak berani janji pingat


JAGUH paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli bersama Isteri, Zafirah Md Nasir. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

SEPANG: Jaguh paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, mengakui belum berani untuk menjanjikan kilauan pingat ketika bersaing menentang atlet normal di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), bermula 19 Ogos ini.

Begitupun, pemenang pingat emas di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London itu berkata, kemungkinan untuknya mencipta kejayaan tetap ada, bergantung pada persiapan yang berbaki beberapa hari sebelum temasya dwitahunan itu berlangsung.

"Di Sukan SEA, saya menyasarkan buat yang terbaik. Tetapi, saya tidak mahu menjanjikan atau meletakkan harapan yang tinggi kerana takut mengecewakan.

"Ia (Sukan SEA) adalah pengalaman pertama saya beraksi menentang atlet normal, jadi saya tidak letak harapan terlalu tinggi. Saya akan hadapi persaingan dan cuba yang terbaik untuk negara.

"Dengan kerja keras, saya mahu terus mencuba (pecahkan rekod). Selepas ini, saya akan teruskan latihan kerana jurulatih sebelum ini menegaskan ada kemungkinan perkara ini terjadi sekali lagi (pecah rekod)," katanya.

Beliau ditemui pada majlis sambutan wira di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebentar tadi.

Di London, Muhammad Ziyad meraih pingat emas pertama buat kontinjen negara dan mencatat rekod baharu dunia lontar peluru dengan jarak lontaran 17.29 meter dalam acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran).

Kejayaannya kemudian diikuti Olahragawan Negara, Abdul Latif Romly, yang menyumbang emas kedua dan mencatat rekod baharu kejohanan 7.37 meter dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran).

Abdul Latif juga menjanjikan persembahan terbaik dalam Sukan SEA 2017 dan akan mencuba memperbaiki jarak lompatan untuk melebihi 7.6 meter.

Berita Harian X