Sabtu, 5 Ogos 2017 | 10:55am

Bolt bermula buruk, Gatlin dicemuh

LONDON: Usain Bolt bangkit daripada permulaan 'buruk' manakala pencabarnya dari Amerika, Justin Gatlin, diejek penonton tuan rumah dalam acara saringan 100 meter (m) Kejohanan Olahraga Dunia, awal pagi tadi.

Bolt, bintang terkemuka dari Jamaica yang memburu gelaran dunia ke-12, ketinggalan di tempat kelima pada pertengahan saingan sebelum bangkit memecut untuk memenangi pusingan kedua saringan keenam acara riben biru itu dengan catatan 10.07 saat (s).


Usain Bolt (kiiri) dari Jamaica bersaing dalam pusingan kelayakan 100 meter lelaki pada Kejohanan Athletics World IAAF di Stadium London, awal pagi tadi. - Foto EPA

"Ia amat buruk," kata Bolt. "Saya tergelincir keluar dari blok, saya tidak suka blok ini.

"Saya rasa ia paling buruk sepanjang pengalaman saya. Ia goyah. Ketika saya memanaskan badan (blok itu) bergerak ke belakang. Ia bukan apa yang biasa saya lakukan."

Pertembungan Bolt menentang Gatlin pada Sukan Olimpik 2012 di Stadium London, lokasi sama Kejohanan Dunia kali ini, dilabelkan sebagai 'baik menentang jahat' ketika pelari Amerika itu dicemari dengan ujian doping.

Gatlin, pelari terakhir yang menewaskan Bolt dalam acara 100m di Liga Berlian Rome 2013, dihujani ejekan ketika gambarnya ditunjukkan di skrin besar sebelum saringan dan kemudian memenanginya dengan kepantasan 10.05s.

"Ini bukan drama," kata pengumuman menerusi stadium itu yang memuatkan 60,000 tempat duduk di Stadium London ketika Gatlin keluar dari trek.

"Saya tidak risau mengenai sorakan. Saya hanya fokus untuk permulaan dan perlumbaan," katanya.

"Saya berada di sini, bertemu rakan sepasukan dan mempunyai masa yang baik di sini." - AFP

Berita Harian X