Selasa, 15 Ogos 2017 | 1:25pm
Bekas atlet lari jarak sederhana Malaysia, Samson Vallabouy.
Bekas atlet lari jarak sederhana Malaysia, Samson Vallabouy.

800m acara wajib tengok - Samson

KUALA LUMPUR: Tanggal 23 Ogos , Samson Vallabouy akan berada di Stadium Nasional di Bukit Jalil untuk menyaksikan final 800m lelaki Sukan SEA.

Ia merupakan kali keenam beliau akan kembali sebagai penonton dalam temasya dwitahunan itu sejak menggantung kasutnya pada 1991.

Bekas bintang lari jarak sederhana Malaysia itu memenangi pingat emas dengan catatan masa 1:48.29s di hadapan penonton sendiri di Stadium Merdeka pada Sukan SEA 1989.

Satu generasi kemudiannya, prestasi beliau tetap gagal ditandingi pencabarnya, kekal menjadi rekod acara trek lelaki dalam Sukan itu sehingga kini.

"Saya telah pergi ke lima Sukan SEA sejak saya bersara selepas Sukan SEA 1991 tetapi belum dapat menyaksikan rekod itu dipecahkan. Saya akan sekali lagi berada di stadium pada 23 Ogos. Dengan trek baharu, peluang itu ada, jika tidak saya perlu tunggu dua tahun lagi dan rekod itu akan berusia 30 tahun pada ketika itu," katanya kepada Bernama.

Tiada pelari acara itu ketika ini termasuk juara bertahan Duong Van Thai daripada Vietnam berupaya menghampiri catatan 1:49s itu. Catatan peribadi terbaik Duong adalah 1:49.23s dan saingan terdekatnya Marco Vilog dari Filipina dengan catatan 1:50.89s.

Catatan terbaik dilakukan dua pelari muda Malaysia Royson Vincent dan Asif Rahman pada Terbuka Malaysia bulan lepas adalah 1:51.24s dan 1:51.69s.

Samson, kini berusia 51 tahun dan berrumah tangga dengan bekas pelari kebangsaan Josephine Mary, tidak dapat melupakan saat manis beliau mengalahkan pemegang rekod dan dua kali menyertai Olimpik, Isidro del Prado dari Filipina yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak manakala rakan senegara R.Haridas memenangi pingat gangsa untuk Malaysia.

Beliau menjalani latihan selama tiga bulan di Australia dan kembali ke tanah air untuk meneruskan latihan di Universiti Sains Malaysia , Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

"Seluruh stadium bersorak tanda sokongan kepada saya. Saya tahu Isidro amat kuat, beliau pemegang rekod. Tetapi saya berasa amat yakin mampu melakukannya dengan baik. Saya hanya berlari, mendapat tempat pertama dan mencipta rekod," imbasnya tentang kejayaannya itu.

Samson, yang memenangi tiga pingat emas Sukan SEA, merupakan pelari terbaik negara dalam 800m selepas B.Rajkumar yang masih memegang rekod kebangsaan 1:47.37s diciptanya pada Kejohanan Asia Jakarta 1985.

Samson dan Josephine, yang juga jurulatih kebangsaan dan pemenang pingat emas lima Sukan SEA, mempunyai rumah di Ipoh dan mereka menaruh harapan kepada anak mereka Shereen yang mewakili Malaysia dalam acara lari berganti-ganti 4x400m wanita selepas menarik diri daripada acara kegemarannya 400m kerana mengalami kecederaan 'hamstring' dan masih dalam proses pemulihan sepenuhnya.

"Saya mahu melihat Shereen mencatatkan pencapaian besar dalam Sukan Komanwel Gold Coast di Australia tahun depan dan di Sukan Asia Jakarta. Josephine dan saya telah menakluki Sukan SEA, kami mahu generasi seterusnya mencatatkan kejayaan lebih baik daripada itu," kata Samson. - BERNAMA

Berita Harian X