Rabu, 16 Ogos 2017 | 2:01pm
JONATHAN Nyepa (kanan), bersama atlet olahraga negarapada sesi latihan Sukan SEA KL2017. - Foto Saifullizan Tamadi.
JONATHAN Nyepa (kanan), bersama atlet olahraga negarapada sesi latihan Sukan SEA KL2017. - Foto Saifullizan Tamadi.

Cabaran sengit beri Jonathan semangat

UALA LUMPUR: Pelari pecut kedua terbaik negara Jonathan Nyepa tidak risau dengan cabaran sengit yang bakal diterimanya dalam acara 100 meter lelaki pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Malah, atlet berusia 21 tahun itu berkata ia memberikannya semangat tambahan untuk menampilkan aksi terbaik dan menjadi pencabar utama pingat pada temasya kali ini selepas mencatat 10.28 saat di Terbuka Korea pada Jun lalu.

Catatan masa itu juga menjadikan beliau sebagai manusia kedua terpantas dalam sejarah Malaysia di belakang Khairul Hafiz Jantan daripada Melaka yang memecahkan rekod kebangsaan dengan masa 10.18s di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak tahun lalu.

Selain acara 100m, Jonathan akan mewakili negara dalam acara 4x100m bersama Khairul Hafiz, Badrul Hisyam Abdul Manap dan sama ada Muhammad Haikal Hanafi atau Nixson Kennedy.

"Memang cabaran kali ini sangat sengit bagi kedua-dua acara ini tetapi saya tengok perkara ini sebagai sesuatu yang baik kerana ia membolehkan saya menunjukkan prestasi lebih bagus. Kalau boleh saya nak sumbang pingat dalam kedua-dua acara itu," kata atlet daripada Sarawak itu kepada Bernama.

Bagi acara 100m, beliau sudah pasti akan menerima cabaran sengit atlet senegara yang dilihat sebagai pilihan iaitu Khairul Hafiz selain juara bertahan Eric Cray daripada Filipina, juara 2013 Jirapong Meenapra daripada Thailand serta Yaspi Boby daripada Indonesia.

Bagi acara 4x100m pula, rekod kebangsaan 39.62s yang dicatat kuartet negara terdiri daripada Jonathan, Muhammad Haikal, Badrul Hisyam dan Khairul Hafiz di Terbuka Vietnam tiga minggu lalu, masih tidak cukup untuk mencabar pingat emas.

"Kami telah mendapat bantuan sains sukan daripada Institut Sukan Negara untuk buat analisis video bagi memperbaiki kelemahan dan macam mana nak buat masa yang lebih pantas. Ditambah dengan latihan keras dan simulasi, saya yakin kita dapat buat yang terbaik," katanya.

Pada Sukan SEA Singapura dua tahun lalu, Thailand meraih emas dengan catatan masa 38.99s, manakala Singapura dan Indonesia masing-masing mencatat rekod kebangsaan dengan 39.24s dan 39.32s untuk meraih perak dan gangsa. - BERNAMA

Berita Harian X