Jumaat, 18 Ogos 2017 | 5:43pm
ATLET lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin. - Foto Rohanis Shukri

Irfan cedera buku lali, tarik diri sebagai pembawa obor

KUALA LUMPUR: Kontinjen olahraga negara ke Sukan SEA 2017 (KL2017) menerima khabar membimbangkan apabila atlet harapan dalam acara lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin mengalami kecederaan terseliuh buku lali.

Kecederaan yang dialami tiga hari lalu itu turut menyebabkan pemenang pingat perak Kejohanan Trek dan Padang Asia di India bulan lalu, terpaksa melepaskan tugas sebagai pembawa obor pada upacara pembukaan yang akan berlangsung esok bagi mengelakkan kecederaan lebih serius.

Tahap kecederaan pemenang dua pingat emas di temasya Sukan SEA Myanmar dan Singapura itu bagaimanapun masih lagi dalam pemantauan Institut Sukan Negara (ISN) sebelum acaranya bermula Selasa depan.

"Saya tiada pilihan dan untuk mengelakkan kecederaan menjadi semakin serius, saya terpaksa menarik dari daripada tugas sebagai pembawa obor untuk hari perasmian nanti.

"Saya harap kecederaan ini akan pulih sebelum acara saya bermula minggu depan," katanya.

Biarpun mengakui amat kecewa dengan apa yang berlaku, pemegang rekod Asia Tenggara dengan jarak 62.55 meter itu masih menaruh harapan untuk beraksi di tanah air sendiri.

"Saya masih lagi positif dan yakin ia akan sembuh dan kembali seperti biasa," katanya.

Irfan berpeluang cerah untuk menjadi atlet pertama menyumbangkan emas dalam acara olahraga bagi kontinjen negara.

Olahraga akan membuka tirai pertandingan pada 19 Ogos menerusi acara maraton dan Irfan akan turun beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil pada hari Selasa.

Kematangannya serta kejayaan memecahkan rekod kebangsaan sebanyak tiga kali tahun ini serta reputasi sebagai pemegang rekod Asia Tenggara mengukuhkan lagi peluangnya mencipta hatrik di Sukan SEA, seterusnya merealisasikan sasaran Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) meraih enam emas.

Dua tahun lalu, Irfan adalah antara tiga atlet olahraga yang menyumbangkan emas di Sukan SEA Singapura, bersama-sama Nauraj Singh Randhawa dan Hakimi Ismail.

Berita Harian X