Ahad, 20 Ogos 2017 | 7:39pm
ATLET Filipina, Eric Cray mula bermain psikologi dengan menegaskan hanya mahu tampil dengan aksi terbaik di balapan di Sukan SEA KL2017. - Foto AFP

Eric Cray pilih 'jalan selamat'

KUALA LUMPUR: Persaingan sengit merebut mahkota Raja Pecut Asia Tenggara di Sukan SEA Kuala Lumpur menyaksikan atlet Filipina, Eric Cray tampak mula bermain psikologi dengan menegaskan hanya mahu tampil dengan aksi terbaik di balapan.

Sebaliknya, pemenang pingat emas acara pecut di Sukan SEA Singapura 2015 itu menjangkakan pertembungan epik merebut gelaran jaguh pecut bakal berlaku antara Khairul Hafiz Jantan (Malaysia), Jirapong Meenapra (Thailand) serta dua jaguh dari Indonesia.

Bagaimanapun, di sebalik sifat merendah diri atlet berusia 28 tahun itu, dia sebenarnya mahu mempertahankan pingat emas dalam acara 100m yang dimenanginya di Singapura dengan catatan masa 10.25s dan serta acara 400m berpagar (49.40s).

"Saya hanya mahu lakukan yang terbaik untuk Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dan banggakan negara saya, apabila lakukan yang terbaik, barulah akan tahu apa yang terjadi.

"Saya tidak sabar untuk memberikan cabaran. Tetapi untuk acara 100m, pasti ramai pesaing yang mahu menjadi juara kerana kita ada Jirapong (emas 2013), dua pelari Indonesia dan Malaysia memiliki dua atlet yang pantas (Khairul Hafiz dan Jonathan Nyepa).

"Mereka mempunyai pencapaian terbaik musim ini, lebih bagus daripada saya," kata jaguh pecut dari Filipina itu ketika ditemui ketika sesi latihan di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, hari ini.

Eric juga enggan mengaku kalah dan tetap mahu beraksi dalam dua acara iaitu 100m dan 400m berpagar meskipun ia bakal berlangsung pada hari sama pada 22 Ogos (Selasa).

Sebelum ini, Eric mengakui yang dia mungkin akan disenaraikan untuk menggalas cabaran Filipina dalam acara berpasukan iaitu 4x100m dan 4x400m.

Pencapaian terbaik Eric musim ini dalam acara 100m adalah 10.27s di Terbuka Texas, merosot 0.02s berbanding catatan emas 10.25 yang dilakukan di Singapura.

Eric yang memiliki kelebihan dalam acara 400m berpagar adalah pemenang emas di Kejohanan Olahraga Asia di India dengan catatan 49.57s.

Acara olahraga dijadual bermula pada Selasa hingga Sabtu di Stadium Nasional Bukit Jalil, dengan menawarkan 48 pingat secara keseluruhan.

Berita Harian X