X
Khamis, 31 Ogos 2017 | 5:27pm
ATLET Paralimpik yang menjadi sandaran negara (dari kiri) Siti Noor Radiah, Muhammad Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi. - Foto Hasriyasyah Sabudin
ATLET Paralimpik yang menjadi sandaran negara (dari kiri) Siti Noor Radiah, Muhammad Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KL2017: Giliran atlet paralimpik rangkul kejayaan

KUALA LUMPUR: Kejayaan negara muncul juara keseluruhan Sukan SEA diharap dapat diteruskan pada temasya Sukan Para ASEAN 2017 yang bakal buka tirai, 17 September ini.

Walaupun ia adalah pentas berbeza namun kejayaan Sukan SEA harus jadi suntikan semangat buat atlet paralimpik negara sekali gus melengkapkan tahun gemilang buat sukan negara.

Pengarah Bahagian Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN), Mohd Safrussahar Yusof berkata atlet paralimpik negara akan dikumpulkan dalam kem terakhir pada Ahad ini.

"Kejayaan hebat atlet normal negara pada Sukan SEA satu berita yang menggembirakan. Jadi sudah pasti saya juga mahu lihat kejayaan sama dapat dilakukan sekali lagi pada Sukan Para ASEAN.

"Kita letak sasaran 103 pingat emas. Untuk atlet yang akan bertanding nanti, jadikan kejayaan Sukan SEA sebagai suntikan motivasi untuk cuba beri aksi terbaik buat negara di depan penyokong sendiri," katanya.

Olahraga sudah pasti menjadi sandaran utama buat kontinjen paralimpik negara untuk menghadirkan kejayaan terutamanya dengan kehadiran tiga pemenang pingat emas Sukan Paralimpik, Muhammad Ziyad Zolkefli menerusi acara lontar peluru F20, Mohamad Ridzuan Puzi (100 meter T36), Abdul Latif Romly (lompat jauh T20) dan pemenang gangsa, Siti Noor Radiah Ismail (lompat jauh T20).

Selain itu, antara sukan yang berpotensi menghadirkan kejayaan buat negara adalah boling, basikal trek, badminton dan renang.

Dalam masa sama, Mohd Safrussahar mengharapkan sokongan sama dapat diberikan peminat sukan negara seperti yang ditunjukkan pada penganjuran Sukan SEA.

"Atlet paralimpik juga mengharapkan sokongan peminat. Sama-samalah kita beri sokongan dan semua venue pertandingan tidak akan dikenakan tiket," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X