Khamis, 31 Ogos 2017 | 9:20pm
KHAIRUL HAFIZ mahu beri tumpuan kepada latihan untuk melayakkan dirinya melangkah ke temasya Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, tahun depan. - Foto EPA

KL2017: Kecederaan 'The Speedy Jantan' beransur pulih

JASIN: Raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan, bakal memberi tumpuan kepada latihan untuk melayakkan dirinya melangkah ke temasya Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, tahun depan.

Bagaimanapun, anak muda kelahiran Kampung Berangan Enam, Umbai, di sini, perlu menjalani rawatan kecederaan pada otot paha kanannya selama sebulan, sebelum dibenarkan untuk meneruskan latihan di Institut Sukan Negara (ISN).

Jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim, berkata kecederaan yang dialami anak didiknya yang diberi jolokan 'The Speedy Jantan' itu beransur pulih, namun atas nasihat doktor beliau akan berehat selama sebulan bagi membolehkan proses pemulihan kecederaan itu lancar.

"Pada ketika ini Khairul Hafiz akan berehat selama seminggu di kampung sebelum pulang semula ke ISN untuk menjalani rawatan susulan kecederaan kakinya. Namun, selepas pulih nanti, kita akan meneruskan latihan bagi memberi tumpuan kepada SUKOM serta Sukan Asia di Jakarta yang juga diadakan tahun depan.

"Pada masa sama, saya mengharapkan seluruh rakyat Malaysia mendoakan supaya kecederaan Khairul Hafiz pulih sepenuhnya," katanya selepas menghadiri majlis sambutan kepulangan Khairul Hafiz ke kampung halamannya, di Kampung Berangan Enam, di sini anjuran UMNO Cawangan Berangan Enam, lewat petang tadi.

PELARI pecut, Khairul Hafiz Jantan (tengah) pemenang pingat emas dalam acara 100 meter di temasya Sukan SEA KL2017 bergambar bersama peminat pada majlis sambutan kemenangannya di Kampung Berangan Enam, Umbai. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Ketibaan Khairul Hafiz bersama rakannya, Badrul Hisyam Abdul Manap itu disambut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan; Penghulu Serkam, Nor Azmi Mahmood serta Ketua UMNO Cawangan Berangan Enam, Kamarulzaman Md Yassin.

Pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Khairul Hafiz menamatkan penantian 14 tahun Malaysia untuk meraih pingat emas acara 100 meter (m) lelaki apabila menewaskan juara bertahan, Eric Cray dari Filipina dengan catatan masa 10.38 saat (s), selepas kali terakhir dimenangi oleh Nazmizan Muhammad pada Sukan SEA 2003 di Vietnam.

Namun, Khairul Hafiz hanya mampu berada pada tempat keempat acara 200m dengan catatan masa 21.28s, akibat kecederaan kaki kanannya dan tidak dapat beraksi dalam acara 4x100m pada temasya berkenaan.

Sementara itu, Khairul Hafiz berterima kasih kepada UMNO Cawangan Berangan Enam kerana menganjurkan majlis berkenaan yang sudah pasti tidak akan dilupakan dalam ingatannya.

Beliau turut berbangga kerana berjaya membawa nama kampung berkenaan serta Melaka dalam kejohanan berpestij seperti Sukan SEA dan berjanji akan berusaha keras bagi mencipta kemenangan pada acara yang lebih besar pada masa akan datang.

"Saya berterima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron serta Datuk Zaidi Attan yang banyak memberi dorongan serta galakan kepada saya selama ini. Tidak lupa juga kepada penduduk Kampung Berangan Enam yang menyokong dan mendoakan saya sehingga berada pada tahap ini," katanya.

Berita Harian X