X
Selasa, 17 Oktober 2017 | 10:52pm
RAJA pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan jadi inspirasi kepada peserta Program Merlimau Speed Demons.
RAJA pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan jadi inspirasi kepada peserta Program Merlimau Speed Demons.

Merlimau Speed Demons pupuk jaguh pecut

KUALA LUMPUR: Kelibat raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan di Sekolah Rendah Kebangsaan Serkam Darat Melaka menyuntik semangat luar biasa dalam kalangan pelajar yang menyertai Program Merlimau Speed Demons.

Nyata mereka begitu bersemangat dapat bersama menimba pengalaman daripada jaguh pecut negara itu dalam usaha mencari bakat baru dalam sukan olahraga terutamanya acara pecut.

Program yang diketuai oleh jurulatih pecut negara Mohd Poad Md Kassim, mendapat maklum balas positif peserta-peserta yang teruja terpilih meneruskan program fasa kedua.

Menurut Poad, dia dapat melihat betapa kesemua pelajar yang terpilih meneruskan program berkenaan dengan semangat tinggi terutama ketika sesi ujian berlangsung.

"Berdasarkan program yang diatur saya amat berpuas hati di mana 50 pelajar dari 100 pelajar disenarai pendek. Daripada ujian yang dilakukan itu saya lihat beberapa pelajar mempunyai bakat untuk menyerlah dan pergi ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Mengulas mengenai langkah seterusnya, Poad berkata pelajar yang terpilih akan dipanggil untuk menyertai kem latihan di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) hujung tahun ini.

"Terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPN), Pengetua SSTMI (Suhaimi Sun), ISN (Institut Sukan Negara) satelit Johor atas kerjasama memantau kelancaran program.

"In Shaa Allah atlet yang dikenal pasti potensi dan bakat akan ditawarkan melanjutkan pelajaran di SSTMI bergantung kepada keperluan," katanya.

Program Merlimau Speed Demons adalah program sekolah angkat olahraga yang mula diperkenalkan tahun lalu dengan 100 pelajar dipilih menyertai fasa pertama.

Pelajar akan melalui proses saringan yang dikendalikan oleh ISN Johor serta dibantu oleh pelajar dari SSTMI.

Berita Harian X