Isnin, 25 Disember 2017 | 5:50pm
ATLET 400 meter, Muhammad Azam Masri akui dia langsung tidak boleh leka sebaliknya menggandakan latihan untuk menjadi lebih baik

Azam sasar tiket Sukan Komanwel, Asia

KUALA LUMPUR: Muhammad Azam Masri sedar kalendar sukan tahun depan bakal menyajikan lebih banyak saingan buat atlet negara mahu pun antarabangsa.

Jadi, atlet olahraga kebangsaan ini mengakui dia langsung tidak boleh leka sebaliknya menggandakan latihan untuk menjadi lebih baik ketika tahun 2017 hanya berbaki beberapa hari saja lagi sebelum melabuhkan tirainya.

Pada masa sama, atlet acara 400 meter ini sedar, kemunculan lebih ramai pelari muda yang berbakat mampu menyerikan lagi kancah sukan negara serta memberikan lebih banyak saingan selepas ini.

"Bagi saya, tahun 2018 akan menjadi lebih mencabar kerana banyak temasya dan kejohanan besar nanti.

"Saya kena berusaha keras kerana saya akan cuba untuk layak ke Sukan Komanwel atau Sukan Asia 2018. Apatah lagi ramai pelari muda sedang meningkat," kata Azam yang beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) ketika dihubungi.

Selepas KL2017 melabuhkan tirai pada Ogos lalu, temasya besar tahun depan lain menanti adalah Sukan Komanwel, Gold Coast, Australia yang dijadual berlangsung pada 4 hingga 15 April.

Selain Komanwel, turut menarik perhatian adalah Sukan Asia di Jakarta dan Palembang, Indonesia yang dijadualkan bermula pada 18 Ogos hingga 2 September 2018.

289 dibaca
Berita Harian X