Selasa, 17 April 2018 | 6:50pm
KONTRAK Nauraj Singh Randhawa selaku duta produk UFL mungkin tidak akan disambung jika gagal menang sebarang pingat di Sukan Asia 2018. - Foto Rosli Rahmat

Amaran buat Nauraj, Khairul Hafiz

 

KUALA LUMPUR: Syarikat pengedar barangan sukan terbesar di Malaysia, Universal Fitness & Leisure (UFL) Sdn Bhd, mungkin akan mengkaji semula kontrak tajaan kepada Nauraj Singh Randhawa dan Khairul Hafiz Jantan jika mereka gagal meraih sebarang pingat di Sukan Asia Jakarta 2018.

Pengarah Urusan UFL, Datuk Radha Krishnan berkata, tindakan itu perlu selepas UFL kecewa dengan prestasi dan kegagalan Nauraj dan Khairul Hafiz meraih sebarang pingat di Sukan Komanwel Gold Coast 2018 (GC2018) baru-baru ini.

"Biarpun Khairul Hafiz masih lagi muda tetapi kami berharap beliau mampu menunjukkan peningkatan prestasi dengan sekurang-kurang mengatasi rekod peribadi terbaik dalam acara 100 meter tetapi ia tidak berlaku. 

"Bagaimanapun, prestasi Khairul Hafiz sebagai salah seorang pelari kuartet 4x100m agak bagus kerana berjaya layak ke final di Stadium Carrara," katanya.

Kuartet turut dianggotai Nixson Kennedy, Jonathan Nyepa, Badrul Hisham Abdul Manap dan Khairul Hafiz itu melakukan catatan masa 39.39 saat (s) untuk menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik sekali gus mara ke final. 

"Kami lebih kecewa dengan pencapaian Nauraj kerana beliau bukan hanya dilihat 'bergelut' untuk mengatasi rekod peribadi terbaiknya 2.30m.

"Malah dia tersingkir awal selepas gagal melepasi ketinggian 2.21m selepas tiga percubaan di peringkat akhir biarpun sudah lama berlatih dan membuat persiapan termasuk berlatih di Australia dan Jerman untuk menghadapi temasya berkenaan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas sidang media sempena pelantikan UFL selaku pengedar utama produk aktiviti luar termasuk kemah dan beg tidur jenama High Pick buatan Jerman di sini, sebentar tadi.

Justeru, Radha menegaskan Nauraj dan Khairul Hafiz perlu berusaha dan meningkatkan pretasi serta menang pingat di Sukan Asia 2018 jika mereka mahu UFL terus memberikan tajaan kepada mereka.

"Jika Nauraj gagal menang sebarang pingat di Sukan Asia 2018 maka kita mungkin tidak akan menyambung kontraknya selaku duta produk UFL kerana ia adalah peluang terakhir beliau membuktikan keupayaan sebenar biarpun menang emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 lalu.

Berikutan itu, Radha tidak menolak kemungkinan akan melantik atlet lain termasuk dari sukan gimnastik selaku duta baharunya berikutan kejayaan mereka di GC2018, baru-baru ini.

7044 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »