Ahad, 1 Julai 2018 | 8:04pm
KARIM Ibrahim - Foto OWEE AH CHUN
KARIM Ibrahim - Foto OWEE AH CHUN

Karim harap simpati MOM

 

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menerusi Presidennya Datuk Karim Ibrahim mengharapkan simpati daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi menyenaraikan kuartet 4x100 meter (m) di bawah kategori A.

Menurut Karim, proses rayuan sudah dilakukan dan berharap MOM akan memberi peluang kepada kuartet negara yang kini berada di Jerman dalam rangka latihan dan pertandingan.

Pertemuannya bersama Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka yang dianjurkannya juga menunjukkan petanda positif.

"Ketika ini saya tidak mahu sebut kategori A atau B kerana ia boleh merendahkan semangat  atlet itu," kata Karim.

"Kalau layak cakap layak dan kalau tidak layak mereka masih boleh terus berusaha kerana semua atlet masih ada peluang ke Sukan Asia Indonesia berikutan MOM masih belum memutuskan tarikh akhir untuk atlet melayakkan diri.

"Begitu juga dengan kuartet 4x100m negara dan saya berharap mereka dapat melakukan sesuatu di Jerman seperti memecahkan rekod kebangsaan ataupun menghampiri masa kelayakan supaya MOM dapat mempertimbangkan penyertaan mereka ke Indonesia nanti."

Sementara itu Karim turut mengulas mengenai kedudukan jurulatih pecut Mohd Poad Md Kassim dan kini sedang berusaha memastikan jurulatih itu diterbangkan ke Jerman untuk bersama pelarinya lebih awal daripada perancangan asal.

Perkara itu sudah dibincangkan bersama Poad dan juga Majlis Sukan Negara (MSN) namun keputusannya terletak di tangan Poad.

Karim berkata, jika semua urusan seperti permohonan cuti dan sebagainya dapat diselesaikan segera tiada masalah untuk menghantar jurulatih itu terbang ke Jerman sebelum 20 Julai ini.

Skuad pecut negara terdiri Khairul Hafiz Jantan bersama lima lagi atlet Muhammad Haiqal Hanafi, Muhammad Zulfiqar Ismail, Nixson Kennedy dan Jonathan Nyepa serta pelari pecut wanita, Zaidatul Husniah Zulkifli sudahpun berada di Jerman.

Bagaimanapun Poad dikatakan menolak untuk bersama skuad negara sekiranya diterbangkan pada 20 Julai ini kerana menyifatkan ia sudah lewat kerana kerugian dari segi masa dan perbelanjaan.

Berita Harian X