Isnin, 17 September 2018 | 10:24pm
BADRUL Hisyam Abdul Manap - Foto L MANIMARAN

Percaturan Melaka makan diri

IPOH: Percaturan saat akhir kontinjen olahraga Melaka memakan diri sendiri apabila pelari harapan Badrul Hisyam Abdul Manap gagal melayakkan diri ke saingan akhir acara 400 meter (m) di Sukan Malaysia (SUKMA) kali ini. 

Ketika nama Badrul disebut bakal memberi cabaran dalam acara pecut 100m, entah mengapa nama pelari berusia 21 tahun itu digugurkan pada saat akhir.

Malah, jurulatihnya Mohd Poad Md Kassim turut terpinga dengan keputusan Melaka menggugurkan nama Badrul dalam acara 100m, sebaliknya menyenaraikannya beraksi dalam acara 400m.

"Hanya pengurusan Melaka boleh jawab kenapa nama Badrul digugurkan. Pada awal pendaftaran memang Badrul dimaklumkan akan beraksi dalam acara 100 dan 400m. 

"Tapi disebabkan pertindihan jadual pertandingan apabila 100 dan 400m berlangsung pada hari yang sama, saya minta Badrul fokus dalam acara 100m.

"Namun, pada tengah hari saya menerima mesej memaklumkan bahawa Badrul tidak boleh beraksi dalam acara 100m," katanya.

Ternyata perkara itu mengganggu emosi dan memberi tekanan kepada Badrul yang sememangnya meletakkan sasaran untuk beraksi dalam acara riben biru itu.

Atas faktor itu, Poad menyifatkan fokus Badrul terganggu sekali gus menyebabkan dia gagal ke peringkat akhir 400m selepas sekadar merekodkan 49.3 saat (s) pada saringan kedua. 

Saringan itu dimenangi atlet Perak Cheah Yau Chung (47.89s) diikuti Muhammad Saiful Safwan Saifuddin (48.42s).

Hanya juara dan naib juara setiap saringan layak secara automatik ke peringkat akhir selain catatan masa dua terbaik pelari di tempat ketiga.

Berita Harian X