Selasa, 18 September 2018 | 8:57pm
BADRUL Hisyam Abdul Manap - Foto L MANIMARAN

CDM Melaka akan siasat kes Badrul

IPOH: Ketua Kontinjen Melaka di Sukan Malaysia (SUKMA) Kerk Chee Yee menegaskan akan menyiasat dan mendapatkan jawapan daripada mereka yang bertanggungjawab terhadap pengguguran nama Badrul Hisyam Abdul Manap daripada senarai peserta acara 100 meter. 

Ini kerana keputusan itu menyebabkan Melaka terpaksa mengigit jari dan kehilangan prospek emas apabila Badrul digugurkan daripada senarai pelari 100m sebaliknya diletakkan untuk beraksi dalam 400m. 

Lebih pelik, nama juara bertahan Khairul Hafiz Jantan masih berada dalam senarai peserta biarpun raja pecut Asia Tenggara itu sudah memaklumkan menarik diri. 

"Sudah tentu ia satu kerugian buat kontinjen Melaka. Mungkin berlaku salah faham ketika keputusan dibuat. 

"Tapi saya tahu setiap keputusan yang dibuat adalah untuk mengelakkan atlet daripada tercedera berikutan ada jadual yang bertindih. Jadi saya perlukan jawapan terhadap isu ini,” katanya. 

Bagaimanapun, Chee Yee berkata, penjelasan perlu diberikan oleh jurulatih selain Persatuan Olahraga Melaka yang memutuskan pelari mana beraksi dalam acara apa.

Terdahulu, nama Badrul disebut sebagai antara pelari yang mampu menyumbangkan pingat buat Melaka. Bagaimanapun dia yang beraksi dalam acara 400m turut gagal menempatkan diri ke saingan akhir acara itu selepas menamatkan saingan di kedudukan keempat peringkat separuh akhir semalam.

Sementara itu, jurulatih Badrul, Mohd Poad Md Kassim berkata, beliau tidak terbabit dalam keputusan untuk menggugurkan nama pelari berkenaan. 

Katanya, hanya pihak pengurusan Melaka boleh menjawab persoalan itu kerana beliau sebelum ini sudah mengarahkan Badrul supaya hanya memberi fokus terhadap 100m dan mengabaikan 400m berikutan pertindihan jadual pertandingan.

Berita Harian X