Ahad, 24 March 2019 | 9:04pm
ATLET berdarah campuran Malaysia-Australia, Russel Alexander Nasir Taib.

Russel mahu terus perbaiki rekod

KUALA LUMPUR: Atlet berdarah campuran Malaysia-Australia, Russel Alexander Nasir Taib masih belum puas meskipun berjaya meleburkan rekod kebangsaan acara 200 meter (m) lelaki milik Khairul Hafiz Jantan, semalam.

Atlet berusia 21 tahun yang dilahirkan di Kuala Lumpur pada tahun 1998 sebelum berhijrah ke Hobart, Australia pada usia tiga tahun itu mengakui semangatnya makin membara untuk melakukan larian lebih pantas selepas ini.

"Saya gembira dengan peningkatan prestasi saya dan mencipta pencapaian peribadi terbaik serta rekod kebangsaan yang baharu,” kata Russel. 

"Impian saya selepas ini adalah untuk memperbaharui rekod ini sebanyak mana yang saya mampu," kata Russel yang mencatat 20.77s (+2.0) di Trek Klasik Queensland, Australia, semalam, sekali gus memadamkan rekod berusia dua tahun, 20.90s milik The Speedy Jantan di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2017.

Mengulas lanjut, Russel menjelaskan dia berhasrat untuk mewakili Malaysia ke Kejohanan Olahraga Asia di Doha pada April dan temasya Sukan SEA di Filipina, November ini.

Berkenaan misinya di Filipina nanti, Russel menjelaskan dia tidak meletakkan apa-apa sasaran sehinggalah namanya terpilih secara rasmi bagi bersaing di bawah panji Jalur Gemilang di Manila nanti.

"Saya harap terpilih untuk larian 200m kerana ia adalah acara kegemaran saya. Buat masa ini fokus saya adalah untuk meningkatkan catatan masa dalam acara 100m dan 200m bagi membolehkan saya mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya.

Menariknya, Russel yang berpangkalan di Australia dikendali jurulatih wanita yang pernah dua kali layak beraksi di pusingan final Sukan Olimpik dalam acara 200m – Denise Boyd.

Boyd adalah pemenang pingat emas acara 200m wanita di temasya Sukan Komanwel Edmonton, Kanada pada tahun 1978.

"Jantina jurulatih tidak memberikan perbezaan buat atlet, sebaliknya ia lebih kepada pengetahuan yang dimiliki dan sesuai untuk atlet. Pada saya Denise adalah jurulatih yang tepat dan mempunyai ilmu untuk membantu kejayaan saya," katanya.

Selepas ini, Russel akan menghangatkan saingan Grand Prix (GP) Malaysia di Stadium Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur dalam acara 100m dan 200m yang dijadual berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini.

Russel dijangka berdepan atlet terkemuka seperti juara remaja dunia, Lalu Muhammad Zohri dari Indonesia.

 

 

 

Berita Harian X