Jumaat, 29 March 2019 | 7:24pm
Yang Chun-han

Jagoan Asia berentap di Bukit Jalil esok

KUALA LUMPUR: Perebutan gelaran raja pecut pada kejohanan olahraga julung kali dianjurkan, Grand Prix Terbuka Malaysia yang bermula esok di Stadium Nasional Bukit Jalil dijangka sengit dengan tumpuan pasti terarah kepada pelari terpantas Taiwan, Yang Chun-han.

Pelari berusia 22 tahun itu mempunyai rekod peribadi terbaik 10.11 saat selaku pemegang rekod kebangsaan 100m di negara kelahirannya. Beliau melakukan catatan itu di Sukan Universiti Jepun di Hiratsuka, Jepun pada Jun tahun lalu.

Pemenang pingat emas Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Taiwan pada tahun lalu itu pastinya tidak akan diberi laluan mudah apabila juara remaja dunia, Lalu Muhammad Zohri dari Indonesia yang merekodkan 10.18s yang turut hadir di Kuala Lumpur.

Untuk rekod, Lalu melakukan catatan peribadi terbaiknya di Kejohanan Dunia Bawah 20 tahun IAAF di Finland, tahun lalu.

Biarpun nama taruhan terbaik negara, Khairul Hafiz Jantan disenaraikan pada kejohanan kali ini, raja pecut Sukan SEA 2017 Kuala lumpur yang mempunyai catatan 10.18s itu disahkan tidak akan turut serta oleh jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim bagi memberi peluang anak buahnya menjalani pemulihan sepenuhnya berikutan kecederaan betis.

Sandaran negara kini terletak di bahu raja pecut Sukan Malaysia (SUKMA), Muhammad Aqil Yasmin yang mempunyai catatan terbaik 10.39s yang dilakukan pada temasya tahun lalu di Ipoh disamping pelari kebangsaan lain seperti Nixson Keneddy, Badrul Hisyam Abdul Manap dan Muhd Zulfiqar Ismail.

Tidak dilupakan kehadiran pemegang rekod baru kebangsaan dalam acara 200m, Russel Alex Nair yang bakal membuat penampilan sulungnya di negara ini selepas mencatatkan 20.77s bagi membaiki catatan 20.90s yang dilakukan Khairul Hafiz pada Terbuka Malaysia 2017 di Kuala Lumpur.  

Maldives turut menghantar jaguh pecutnya, Hassan Said yang mempunyai rekod terbaik 10.33s untuk memburu kejuaraan di negara ini.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim berkata kejohanan yang kali pertama dianjurkan itu akan menampilkan mutu saingan tinggi dengan ramai atlet handalan dunia daripada keseluruhan 14 negara sudah dijemput.

"GP ini adalah penting buat atlet negara kerana kejohanan ini bakal menjadi medan pemilihan bagi atlet kita untuk disenaraikan ke Kejohanan Olahraga Asia yang akan berlangsung di Doha pada bulan hadapan. Kita harap orang ramai akan menyaksikan sendiri saingan atlet berkelas dunia pada kejohanan selama dua hari ini," katanya.

Jadual esok (final):

3 ptg: Lompat bergalah lelaki, lompat kijang wanita, lempar cakera wanita, 3,000m lari berhalangan lelaki

4 ptg: Lempar cakera lelaki

5.30 ptg: 800m wanita, 800m lelaki

8.03 mlm: 100m wanita, lompat bergalah lelaki, lompat jauh lelaki, lontar peluru lelaki

9.10 mlm: 400m lari berpagar lelaki

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X