Jumaat, 5 April 2019 | 11:26pm
Zulfiqar (kanan) sudah sedia melakar kejutan dalam acara 100 meter. - Foto fail

Zulfiqar sedia laku kejutan 100m

KUALA LUMPUR: Pelari pecut muda negara, Muhammad Zulfiqar Ismail sudah sedia melakar kejutan dalam acara 100 meter (m) ketika nama Khairul Hafiz Jantan dan Lalu Muhammad Zohri dari Indonesia lebih popular di rantau ini.

Khairul Hafiz adalah raja pecut Asia Tenggara selepas menjuarai acara itu pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) selepas menewaskan juara bertahan, Eric Cray dari Filipina. Pelari pecut kebangsaan itu mencatatkan 10.38 saat (s) untuk menamatkan penantian emas 14 tahun buat Malaysia.

Nama Lalu dari Indonesia melonjak selepas muncul juara pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Tampere Finland, 2018 dengan kepantasan 10.18s.

"Memang impian saya untuk tewaskan Khairul Hafiz ataupun Lalu, cuma belum tercapai lagi. Insya-Allah saya akan cuba lakar kejutan di Sukan SEA, Filipina nanti," kata Zulfiqar.

Mengulas lanjut, atlet berusia 20 tahun ini menegaskan bahawa dia sedikit pun tidak gentar dengan Lalu walaupun pelari itu memiliki rekod peribadi terbaik, 10.18s.

Zulfiqar berkata, apa yang penting buatnya adalah memperbaiki kekurangan terutama ketika memasuki 30m terakhir.

"Saya perlu baiki kekurangan dalam diri. Selain itu, saya harap Khairul Hafiz dapat fokus kepada proses pemulihan kerana rakan sepelatih di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) kekurangan cabaran tanpa beliau," katanya.

Pencapaian peribadi terbaik Zulfiqar adalah 10.40s yang dicipta di Jerman, tahun lalu.

Berita Harian X