Rabu, 24 April 2019 | 10:53pm
BEKAS jaguh pecut negara, Nazmizan Muhammad. - NSTP/Rosli Rahmat

Jangan beri tekanan pada Azeem

 

KUALA LUMPUR: Atlet yang semakin mencuri tumpuan, Muhammad Azeem Mohd Fahmi tidak boleh diletakkan terlalu banyak tekanan.

Sebaliknya perkembangan pelari yang baharu berusia 15 tahun itu perlu dipantau dan prestasinya dibiarkan meningkat secara semulajadi.

Bekas jaguh pecut negara, Nazmizan Muhammad berkata, ia bagi mengelakkan bakat muda itu mengalami kecederaan serius yang boleh memberikan kesan jangka masa panjang. 

"Kita sudah nampak potensi Azeem, tapi jangan terlalu bagi tekanan kepadanya kerana kita bimbang terjadi kecederaan serius.

"Dari segi prestasi dia memang bagus dan mungkin boleh memecahkan rekod kebangsaan milik Khairul Hafiz Jantan pada masa depan.

"Tapi biarkan ia berlaku secara berperingkat, ikut usia dan kematangan ... Hamberi Mahat dulu pun pernah berlari 10.6s ketika berusia 15 tahun," kata Nazmizan.

Nazmizan yang juga pemenang pingat emas acara 100 meter (m) dan 200m di Sukan SEA Vietnam pada 2003 berkata, semua pihak perlu bersama-sama memantau perkembangan Azeem.

Selain itu, beliau mencadangkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) turut membantu Azeem sama seperti Russel Alexander Nasir Taib yang kini belajar dan berlatih di Australia.

"Kita boleh minta bantuan daripada Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Sukan Negeri Perak (MSNP), Institut Sukan Negara (ISN) atau daripada pensyarah, profesor serta pakar mengenai sudut biomekanik.

"Jurulatih juga mungkin boleh bekerjasama bersama tenaga pakar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), pegawai MSN yang memantau prestasi Azeem serta pakar nutrisi ISN," kata Nazmizan yang turut mencadangkan Azeem dibantu mendapatkan biasiswa dari universiti luar selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Berita Harian X