Selasa, 27 Ogos 2019 | 4:45pm
Atlet olahraga kebangsaan, Teoh Kim Chyi. - Foto NSTP

Kim Chyi gembira KOM buat pusingan U

KUALA LUMPUR: Atlet 4x400 meter (m) negara, Teoh Kim Chyi harus menjadi antara atlet paling gembira hari ini selepas hasratnya untuk beraksi pada Sukan SEA Filipina 2019 hampir menjadi kenyataan.

Terdahulu, Kim Chyi dan rakannya terpaksa melupakan niat ke Filipina susulan keputusan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tidak menyenaraikan mereka.

Namun, peluang kembali terbuka buat kuartet 4x400 m itu selepas KOM menerusi ketua jurulatih, Mohd Manshahar Abdul Jalil memberi perkhabaran bahawa sedang berusaha mendaftar mereka.

Kim Chyi, 22, yang berasal dari Kedah mengakui kini hanya menunggu lampu hijau daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk membolehkannya menyertai temasya dwitahunan itu.

"Memang saya bersama beberapa rakan yang lain sangat kecewa sejurus dimaklumkan kuartet 4x400 m tidak didaftarkan ke Sukan SEA.

"Kami hanya menangis memikirkan peluang yang tertutup itu. Tapi mujur akhirnya KOM menukar fikiran untuk mendaftarkan kami dan kini hanya menunggu keputusan MOM," katanya.

Menurutnya, menjadi harapan besar kepadanya untuk beraksi pada temasya itu nanti selepas sekian lama kempunan.

Dikhabarkan, KOM memberi talian hayat kepada lima atlet untuk beraksi dalam acara 4x400m di temasya itu.

Mereka adalah Shereen Samson Vallabuoy yang mempunyai catatan 54.26 saat (s) diikuti Nurul Faizah Asma Mazlan (54.72s), Zaimah Atifah Zainuddin (55.55s), Fathin Faqihah Mohd Yusuf (55.89s) dan Teoh Kim Chyi (57.21s).

Mengulas mengenai pembabitannya Kim Chyi sebelum ini beraksi dalam acara 1,500 dan 800m memutuskan untuk bertukar acara ke 400m selepas melihat dia mampu melangkah lebih jauh lagi dalam acara itu.

Berita Harian X