Ahad, 8 September 2019 | 6:11pm
Mohd Zulfiqar Ismail (dua dari kanan) melakukan henjutan terakhir dalam acara pecut 100 meter akhir untuk meraih pingat emas sempena SUTERA 2019 di Stadium Olahraga Universiti Malaysia Terengganu (UMT). - NSTP/Ghazali Kori

Raja, ratu pecut milik Zulfiqar, Wardatul Huwaida

KUALA NERUS: Raja pecut dalam acara pecut 100 meter Sukan Terengganu 2019 (SUTERA 2019) menjadi milik pelari dari Setiu, Muhammad Zulfiqar Ismail, 20, selepas berjaya melakukan catatan masa 10.3 saat.

Atlet negara yang bakal beraksi pada pentas Sukan SEA di Filipina November depan bagaimanapun dicabar hebat dua lagi pelari iaitu Muhammad Hasrul Najmi Badrul yang mewakili Kuala Nerus dan Ruslem Zikry Putra Roseli dari Kuala Terengganu.

Dua pencabar itu juga membuat catatan sama 10.3 saat, namun berdasarkan catatan tangan bukan elektronik, Muhammad Zulfiqar lebih dulu melintasi garisan penamat.


Pemenang pingat emas dalam acara 100 meter lelaki dan wanita akhir, Mohd Zulfiqar Ismail (kanan) dan Nurul Wardatul Huwaida Mohd. - NSTP/Ghazali Kori

Bagi kategori 100 meter wanita pula, pelari sedang meningkat naik, Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka, 16, yang mewakili Kuala Nerus dinobatkan ratu pecut selepas berjaya menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 11.8 saat juga melalui catatan tangan.

Muhammad Zulfiqar berkata, beliau gembira kerana dapat menghadiahkan emas buat kontinjen Setiu dan memang meletakkan sasaran emas walaupun dicabar hebat Muhammad Hasrul dan Ruslem Zikry Putra.

“Catatan 10.3 saat bukan masa terbaik saya, lagipun saya sasarkan catatan 10.1 saat. Jadi, saya akan berusaha lagi untuk memperbaiki catatan terbaik bagi menyaingi rekod SUKMA milik pelari pecut, Khairul Hafiz Jantan, 10.18 saat,” katanya ditemui di Stadium Olahraga, Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini, semalam.

Muhammad Zulfiqar berkata, SUKMA tahun lalu adalah penyertaan pertama dan berjaya menggondol gangsa serta tempat keempat pada acara 200 meter.

Katanya, penyertaan pada SUKMA Johor 2020 adalah kali kedua dan berharap dapat menukar warna pingat serta melakukan catatan masa lebih baik.

“Saya menyasarkan pingat pada temasya Sukan SEA di Filipina November depan dalam acara 100 meter dan 4 x 100 meter,” kata anak kelahiran Kampung Telaga Papan, Setiu, yang kini menuntut di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor.

Bagi Nurul Wardatul Huwaida, biarpun bertubuh kecil, catatan dilakukan itu rekod terbaiknya dalam karier sebagai atlet olahraga.

“Saya gembira dapat meraih emas pada temasya sulung SUTERA 2019 dan membuat catatan masa lebih baik berbanding 12.3 saat sebelum ini.

“SUKMA tahun lalu di Perak saya dapat pingat emas acara 4x100 meter, jadi SUKMA tahun depan di Johor saya sasarkan pingat emas dalam acara 100 meter, 200 meter dan 4x 100 meter,” kata pelajar Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT), di Gong Badak ini.

Berita Harian X