Rabu, 13 November 2019 | 6:32pm
ABDUL Latif Romly

Latif raih perak Olahraga Para Dunia

KUALA LUMPUR: Hasrat Abdul Latif Romly mempertahankan pingat emas lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) tidak berjaya apabila meraih perak dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), hari ini.

Pada aksi final, atlet dari Perlis itu mencatat jarak sejauh 7.24 meter (m) yang diperoleh pada percubaan terakhir, namun jarak berkenaan masih jauh di belakang pemenang pingat emas dari Belanda, Ranki Oberoi (7.39m).

Catatan dicipta Oberoi bukan saja membolehkannya memenangi emas malah pemegang rekod baharu kejohanan.

Bagaimanapun Latif wajar dipuji kerana dia meneruskan aksi final dalam kesakitan selepas mengalami kecederaan pergelangan kaki kanan ketika beraksi dalam percubaan kedua.

“Pertama kali saya sangat kecewa kerana tidak dapat mempertahankan pingat emas, malah ketika melakukan lompatan kedua saya mengalami kecederaan di bahagian kaki kanan.

“Saya beraksi dalam kesakitan dan memaksa diri untuk meneruskan aksi sehingga lompatan terakhir,” katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Pingat gangsa acara berkenaan dimenangi Roberto Carlos Chala Espinoza dari Ecuador yang melakukan lompatan sejauh 6.88m.

Latif pernah melakukan lompatan sejauh 7.37m pada edisi di London 2017, iaitu 0.02m lebih jauh daripada rekod kejohanan diciptanya dalam kejohanan sama di Doha, Qatar pada 2015.  

Pada temasya Sukan Para Asia di Jakarta tahun lalu, beliau turut melakukan catatan terbaik iaitu 7.64m untuk memenangi emas sekali gus memecahkan rekod dunia miliknya di Sukan Paralimpik Rio 2016.

Untuk rekod, pada kejohanan berlangsung ketika ini, Malaysia menyumbangkan pingat gangsa menerusi Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100 meter lelaki T36 selain perak daripada Jonathan Wong Kar Gee (lompat jauh T12) dan Muhammad Ziyad Zolkefli lontar peluru T20. 

 

 

Berita Harian X