Jumaat, 15 November 2019 | 10:18pm
KHAIRUL Hafiz Jantan

Khairul Hafiz tumpu 4x100m

KUALA LUMPUR: Jaguh pecut negara Khairul Hafiz Jantan tidak diletakkan tanggungjawab untuk memperbaharui catatan masa dalam acara pecut 100 meter (m) lelaki dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Innotex di Bukit Jalil, esok.

Malah atlet itu hanya perlu memberikan tumpuan dalam acara 4x100 meter (m), dengan kejohanan itu menjadi sesi pemanas badan sebelum temasya Sukan SEA Filipina.

Di Filipina nanti, Khairul Hafiz yang meraih emas 100m Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) diletakkan dalam kategori B dan hanya akan beraksi dalam acara 4x100m lelaki.

“Khairul Hafiz baru pulih daripada kecederaan jadi kita tidak boleh jangkakan dia akan cipta masa untuk acara pecut 100m,” kata jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim, hari ini.

“Apa yang penting sekarang dia sudah baik. Jadi dia perlu menumpukan perhatian dalam acara 4x100m.”

Terbuka Innotex yang akan berlangsung di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) disertai 26 atlet kebangsaan sebelum menyertai Sukan SEA Filipina, dan ia mempertandingkan hampir keseluruhan acara utama termasuk 100 meter (m) lelaki dan wanita.

Antara yang disenaraikan menyertai kejohanan berkenaan adalah jagut pecut, Jonathan Nyepa dan Nixson Kennedy bagi acara 100m selain Zaidatul Husniah Zulkifli (100m), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Andre Anura Anuar (lompat jauh).

Berita Harian X