Khamis, 28 November 2019 | 9:14pm
BEKAS raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad. NSTP/Roslin Mat Tahir

Nazmizan persoal tindakan KOM gugur Zulfiqar

KUALA LUMPUR: Pengguguran pelari pecut negara, Muhammad Zulfiqar Ismail ke Sukan SEA Filipina pada saat akhir dalam acara 100 meter (m) lelaki mencetuskan tanda tanya apakah yang sebenarnya terjadi.

Malah bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad mahu pihak berkaitan terutamanya Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menjelaskan perkara sebenar sambil mendakwa terdapat ketidaksamaan antara keputusan doktor dan fisioterapi Institut Sukan Negara (ISN).

“Atlet 100m negara digugurkan saat akhir. Pada 22 November dimaklumkan digugurkan kerana mengalami kecederaan yang teruk. Tetapi laporan dari unit pemulihan ISN memaklumkan dia bersedia untuk Sukan SEA.

“Pada 26 November ada surat pengesahan dari doktor memaklumkan ‘Tidak cergas untuk bersaing’,” kata Nazmizan, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan, Nazmizan mempertikaikan mengapa makluman pengguguran atlet berkenaan tidak selari dengan keputusan doktor.

“Secara rumusan, kenapa pemberitahuan digugurkan tidak selari dengan surat pengesahan doktor. Sepatutnya surat doktor keluar dulu, kemudian sepatutnya doktor mengesahkan dia (Zulfiqar) bebas dari kecederaan, bukan cergas atau tidak cergas.

“Sepatutnya laporan pengesahan itu dari pakar pemulihan yang memantau latihan semasa dalam proses pemulihan,” kata Nazmizan sambil mengakui ingin tahu apakah pengguguran Zulfiqar disengajakan ataupun wujudnya konspirasi tertentu.

Nazmizan yang juga Timbalan Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut mempertikaikan mengapa atlet didikan Mohd Poad Md Kassim tidak diletakkan dalam senarai 4x100m lelaki negara.

“Atlet yang tidak cedera, prestasi semasa ketika Kejohanan Olahraga Innotex-BBSJ tidak memberangsangkan, Nixson Kennedy hanya lakukan 10.83s manakala Khairul Hafiz Jantan 10.79s. 

“Zulfiqar dalam latihan mencatatkan masa yang membuktikan dia bebas dari kecederaan 100 peratus,” kata Nazmizan sambil mendakwa jurulatih tidak diberi ruang untuk mempertahankan anak buah mereka.

Untuk rekod, Sabtu lalu BH Sukan mendedahkan dua atlet olahraga iaitu pelari pecut acara 100m, Zulfiqar digugurkan kerana kecederaan hamstring kaki kiri manakala atlet maraton, Tan Houng Leong kerana kecederaan tumit.

Berita Harian X