Khamis, 28 November 2019 | 9:51pm
ATLET pecut 100 meter (m) lelaki negara, Muhammad Zulfiqar Ismail. NSTP/Owee Ah Chun.

Zulfiqar kecewa, tak sangka digugurkan

KUALA LUMPUR: Atlet pecut 100 meter (m) lelaki negara, Muhammad Zulfiqar Ismail mengakui kecewa dalam masa sama terkejut kerana digugurkan pada saat akhir daripada kontinjen Malaysia untuk menyertai temasya Sukan SEA Filipina.

Malah anak didik Mohd Poad Md Kassim yang disenaraikan dalam kategori B itu menegaskan bahawa dia sudah pulih dan sedang melakukan persiapan menjelang temasya dwitahunan berkenaan.

“Memang saya cedera pada 21 September dan datang ke Institut Sukan Negara (ISN) untuk proses pemulihan pada 27 September.

“Selepas cedera saya diberitahu untuk terus membuat persiapan ke Sukan SEA. Pada awal November saya lakukan pemeriksaan doktor dan doktor memaklumkan hamstring sudah pulih dan boleh berlatih seperti biasa,” kata Zulfiqar kepada BH Sukan.

“Saya tidak mengambil bahagian dalam percubaan di Kejohanan Olahraga Innotex-SSBJ atas saranan doktor dan ISN kerana masa singkat selepas baik dari kecederaan, ia juga tidak sesuai untuk saya.

“Selepas itu saya diberitahu nama saya digugurkan pada kem akhir Sukan SEA Bangi, dengan alasan prestasi saya tak dapat dinilai selepas kecederaan berlaku.”

Sebagai rekod, Sabtu lalu BH Sukan mendedahkan dua atlet olahraga iaitu pelari pecut acara 100m Zulfiqar digugurkan kerana kecederaan hamstring manakala atlet maraton, Tan Houng Leong berikutan skecederaan tumit.

Berikutan itu, kekosongan ditinggalkan Zulfiqar dalam acara pecut akan digantikan Muhammad Haiqal Hanafi, manakala Muhaizar Mohamad menjadi wakil tunggal dalam acara maraton lelaki.

Pengguguran berkenaan menyaksikan hanya 47 atlet bakal menggalas cabaran negara berbanding 49 atlet yang disenaraikan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sebelum ini.

Berita Harian X