Rabu, 11 Disember 2019 | 3:56pm
Rayzam (kanan) ketika beraksi dan meraih pingat perak dalam acara 110 meter lari berpagar lelaki pada Sukan SEA 2019 di Stadium Olahraga New Clark City. - NSTP/Aizuddin Saad

Rayzam Shah kekal dapat perak

CLARK: Jaguh 110 meter (m) lari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian harus kecewa apabila panel timbang tara Persekutuan Sukan SEA (SGF) kekal dengan keputusan mengumumkan dia sebagai pemenang pingat perak.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Ketua Kontinjen Negara ke Sukan Sea (CDM), Datuk Megat Zulkarnain Omardin selepas mengakui bantahan yang dikemukakan pihaknya ditolak.

"Saya dimaklumkan mereka menolak bantahan kami kerana acara penyampaian hadiah sudah berlangsung.

"Kedua, kerana kononnya 'photo finish' menunjukkan pelari Filipina memenangi tempat pertama dan semua ini sudah saya jangkakan," katanya.

Kontroversi bermula selepas Rayzam serta pelari tuan rumah, Clinton Kingsley Bautista melintasi garisan penamat dengan catatan masa yang sama iaitu 13.97 saat (s).

Namun, keputusan 'photo finish' memihak kepada peserta tuan rumah sekali gus menyaksikan Rayzam gagal mempertahankan emas yang dimenangi dua tahun lalu di Kuala Lumpur.

Jelas Megat, keputusan mungkin berbeza sekiranya penganjur menangguhkan upacara penyampaian hadiah ketika kem negara melakukan proses bantahan selepas mengambil contoh kes atlet gimrama negara, Izzah Amzan.

Pingat emas Izzah ditarik sebelum dipulangkan kembali selepas diumum sebagai pemenang bersama dengan rakan senegara, Koi Sie Yan.

"Sebab itu, ketika kes gimrama tempoh hari saya minta upacara penyampaian hadiah jangan dilangsungkan dahulu.

"Ini kerana saya memang menjangkakan mereka akan menggunakan alasan kononnya acara penyampaian hadiah sudah berlangsung sekali gus menunjukkan kita menerima keputusan itu walaupun proses bantahan sedang dilakukan," katanya.

Berita Harian X