Khamis, 2 Januari 2020 | 9:32pm
Atlet pecut negara, Muhammad Haiqal Hanafi meraih pingat emas dalam acara 100 meter lelaki sempena Sukan SEA ke-30 Filipina 2019, baru-baru ini. - NSTP/Aizuddin Saad
Atlet pecut negara, Muhammad Haiqal Hanafi meraih pingat emas dalam acara 100 meter lelaki sempena Sukan SEA ke-30 Filipina 2019, baru-baru ini. - NSTP/Aizuddin Saad

Beri Haiqal, Poad ruang, kebebasan

 

KUALA LUMPUR: Meskipun raja pecut Asia Tenggara, Muhammad Haiqal Hanafi masih muda, namun kepercayaan perlu diberikan kepada atlet berkenaan dalam menentukan hala tujunya dalam sukan.

Malah pelari berusia 20 tahun berkenaan berhak memilih sama ada perlu ‘berubah angin’ dengan mendapatkan guru baharu di luar negara atau kekal bersama Mohd Poad Md Kassim.

Bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad berkata, jika pihak berkaitan mempunyai peruntukan untuk menghantar Haiqal menjalani latihan dan pertandingan di luar negara, ia adalah sebaiknya.

Bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad. - NSTP/Rosli Rahmat
Bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad. - NSTP/Rosli Rahmat

“Tapi perancangan awal perlu dibuat dan negara yang tepat serta sesuai dengan musim atlet mereka di sana (luar negara).

“Jika Haiqal kekal dengan jurulatihnya tidak adalah masalah, apa yang penting adalah mana yang selesa untuknya. Ini kerana Cikgu Poad tahu akan selok belok dan kelebihan Haiqal selama ini,” kata Nazmizan yang turut berharap ada penaja tampil membantu menaja Haiqal selepas ini. 

BH Sukan sebelum ini melaporkan pemenang pingat emas acara pecut 100 meter (m) di Sukan SEA Filipina itu mengintai peluang berlatih di luar negara sekalipun dia perlu ‘meninggalkan’ jurulatihnya, Mohd Poad.

Nazmizan yang juga Timbalan Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkata, kebebasan dan sokongan juga perlu diberikan kepada Mohd Poad.

Ini katanya bagi mengelakkan perkara remeh berulang kembali seperti situasi sebelum ini yang menjejaskan hasrat Khairul Hafiz Jantan menjalani latihan dan pertandingan di Amerika Syarikat.

Nazmizan pada masa sama berpendapat memecahkan rekod kebangsaan acara pecut 100m iaitu 10.18s bukan keutamaan perlu difikirkan Haiqal buat masa ini.

“Biar dia kekal dengan larian dan tahu matlamat sebenar, jadi secara automatik rekod kebangsaan dapat dipecahkan selepas ini.

“Mungkin hendak melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 agak sukar walaupun ia tidak mustahil, namun Haiqal boleh memberi tumpuan terhadap Sukan Asia, China dan Sukan Komanwel, England pada 2022.

“Dengan perancangan rapi dan jangka masa panjang, Haiqal boleh memberikan tumpuan untuk melayakkan diri ke temasya Olimpik 2024 di Perancis,” kata Nazmizan.

Berita Harian X