Sabtu, 11 Januari 2020 | 4:48pm
Nazmizan Mohamad. - Arkib NSTP

Siasat menyeluruh kes doping atlet remaja - Nazmizan

KUALA LUMPUR: Bekas pelari pecut, Nazmizan Mohamad menggesa siasatan menyeluruh dilakukan selepas terdapat atlet muda olahraga yang baharu berusia 17 tahun dilaporkan positif doping, kelmarin.

Tentunya, ia satu tamparan besar buat sukan olahraga terutamanya di peringkat akar umbi, sekolah sukan di Malaysia dan bagi Nazmizan, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) harus melakukan siasatan lebih mendalam sebelum hukuman dimuktamadkan. 

"Siasatan menyeluruh yang dimaksudkan termasuklah mengkaji sejarah (karier) atlet berkenaan," kata Nazmizan yang juga pemerhati bebas sukan olahraga di Malaysia. "Dia berlatih dengan siapa sebelum ini?. Jadi, kaji sebarang kemungkinan. 

"Kita tak boleh menyalahkan jurulatih juga, kerana mungkin (bahan terlarang) itu diperoleh daripada sumber yang tidak diketahui. Pada masa saya dulu, makanan tambahan semuanya dibekalkan jurulatih, ISN (Institut Sukan Negara), MSN (Majlis Sukan Negara). Jadi banyak kemungkinan boleh berlaku."

Semalam, seorang atlet pecut muda negara yang baharu berusia 17 tahun dilaporkan bakal berdepan hukuman penggantungan empat tahun selepas sampel air kencingnya didapati positif bahan terlarang ketika menyertai Kejohanan Tertutup KOM 2019 pada Ogos. 

Presiden KOM, Datuk S. M. Muthu berkata, atlet lelaki yang beraksi dalam acara 4x100 meter itu didapati menggunakan dua bahan terlarang iaitu methasterone dan oxymetholone - sejenis steroid androgenik anabolik.

Susulan itu, pihaknya sudah memanggil atlet berkenaan dan seorang jurulatih kebangsaan, masing-masing pada 26 Disember lalu dan semalam bagi sesi pendengaran pertama.

Menurutnya, kedua-dua individu ini akan dipanggil semula minggu depan untuk sesi siasatan kedua. 

Sekiranya bersalah, hukuman gantung selama empat tahun daripada menyertai sebarang kejohanan dalam dan luar negara bakal dikenakan sekali gus memberi impak negatif kepada sukan olahraga domestik.

Berita Harian X