Jumaat, 24 Januari 2020 | 3:58pm

Atlet muda olahraga digantung 4 tahun

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengumumkan atlet muda olahraga, Muhammad Syazrul Adli Saiful Adli yang sebelum ini dikaitkan dengan skandal doping, dijatuhkan hukuman gantung selama empat tahun berkuatkuasa serta merta. 

Begitupun, atlet pecut dari Pulau Pinang berusia 18 tahun itu boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 30 hari kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bagi mengurangkan hukuman terhadapnya. 

"Dia tidak sedar mengenainya (bahan terlarang dalam makanan tambahan diambilnya) tetapi (bagi KOM) tetap bersalah. Kami tidak mempunyai pilihan lain kerana ia mengandungi methasterone dan oxymetholone - sejenis steroid androgenik anabolik.

"Jadi kami perlu mengambil tindakan ke atasnya," kata Presiden KOM, Datuk S M Muthu kepada media bagi mengumumkan keputusan badan induk itu selepas siasatan terperinci diadakan sebelum ini.

Atlet berkenaan didapati positif doping ketika menyertai Kejohanan Tertutup KOM 2019, Ogos tahun lalu dan diberi peluang membela diri dalam beberapa siri pendengaran sebelum ini. 

Turut dipanggil bagi sesi pendengaran adalah jurulatih kebangsaan, Mohd Poad Md Kassim.

"Dia tidak sedar bagaimana mengambilnya... menerusi rakan baiknya yang memberi makanan tambahan itu untuk tambahkan tenaga dan daripada situ dia terambil steroid yang tidak dimahukan itu.

"Jurulatih itu (Poad) juga melatihnya. Semasa dia menyertai pertandingan dan kami memanggilnya untuk disiasat. Bagaimanapun, kami tidak mempunyai bukti dan disebabkan itu kami tidak boleh mengambil apa-apa tindakan ke atas jurulatih berkenaan. Ini bermakna, dia tidak terbabit," tambah Muthu.

Muthu (kiri) pada sidang media KOM umum keputusan doping di Wisma OCM, Kuala Lumpur. - NSTP/Aswadi Alias
Muthu (kiri) pada sidang media KOM umum keputusan doping di Wisma OCM, Kuala Lumpur. - NSTP/Aswadi Alias
Berita Harian X