Sabtu, 23 Mei 2020 | 6:29pm
Bekas pelari pecut Asia Tenggara yang juga berasal dari Dungun, Nazmizan Muhammad (kanan) tetap ceria bersama keluarga menyambut Aidilfitri biarpun terpaksa beraya di Perlis kali ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). - NSTP/Ihsan Nazmizan Muhammad
Bekas pelari pecut Asia Tenggara yang juga berasal dari Dungun, Nazmizan Muhammad (kanan) tetap ceria bersama keluarga menyambut Aidilfitri biarpun terpaksa beraya di Perlis kali ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). - NSTP/Ihsan Nazmizan Muhammad

Nazmizan sayu tak dapat balik kampung

KUALA TERENGGANU: "Hati mana tidak sayu jika hari lebaran yang disambut setahun sekali ini, kita tidak dapat bertemu dengan insan tercinta. Ia bertambah lebih pilu lagi apabila mendengar alunan takbir di pagi raya," kata bekas pelari pecut kebangsaan, Nazmizan Muhammad.

Bekas raja pecut Asia Tenggara itu yang kini menetap di Perlis terpaksa menyambut Aidilfitri buat kali pertama di perantauan pada tahun ini, berbanding sebelumnya di kampung halamannya di Durian Mentangau, Dungun, Terengganu.

Nazmizan berkata, jika ikutkan hati memang mahu sentiasa berada di samping bapanya, Muhammad Awang, 70 yang kini keseorangan ketika Syawal menjelang selepas ibunya, Zaini Abu Bakar sudah pergi buat selama-lamannya sejak empat tahun lalu.

"Apakan daya kerana apa yang lebih penting adalah keselamatan semua termasuk kami sekeluarga bersama isteri, Suhana Abdul Mutalib dan dua cahayamata, Daniya Alesha, 12, dan Aisy Mifzal, 11 tahun ketika negara berdepan dengan penularan wabak pandemik COVID-19.

"Kami sekeluarga perlu patuh dengan arahan kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia supaya duduk di rumah dan tidak cuba merentas negeri walaupun begitu terasa tanpa bapa disisi di pagi raya.

"Jika ikut perancangan kami beraya di Terengganu dengan baju raya sama warna biru muda, tapi disebabkan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), masing-masing menyambut di tempat sendiri.

"Tapi saya masih beruntung kerana abang sulong dan kakak masih boleh beraya dengan ayah di kampung kerana mereka tinggal berdekatan. Cuma abang kedua dan adik bongsu beraya di Balok, Kuantan dan Nilai Negeri Sembilan termasuk saya di Perlis," katanya ketika dihubungi.

"Bagaimanapun bagi memastikan tali persaudaraan kami sekeluarga tetap utuh walaupun berjauhan, dengan zaman teknologi ini, pelbagai kaedah boleh dilakukan cuma tidak boleh bersalaman.

"Saya bersama keluarga sudah merancang untuk membuat panggilan video di pagi raya. Kami ingin berbual dan meminta maaf terutama kepada bapa yang berada jauh di Pantai Timur biarpun tidak dapat menikmati juadah nasi dagang Terengganu," katanya.

Ketika ditanya menu dan suasana sambutan itu nanti, Timbalan Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu akui suasananya sudah pasti berbeza selain akan menyambutnya secara sederhana di rumah bersama keluarga tanpa berkunjung ke rumah sahabat taulan.

"Pagi raya nanti kami rancang untuk masak rendang ayam menikmatinya bersama ketupat manakala nasi tomato juadah tengah hari. Kami tetap bersyukur kerana Ramadan pada kali ini dapat sepenuhnya bersama dengan keluarga," katanya.

Berita Harian X