Isnin, 25 Mei 2020 | 4:41pm
Adi (dua kiri) bersama keluarga menyambut Aidilfitri di Marang hari ini. - Foto Adi Aliffudin Hussin
Adi (dua kiri) bersama keluarga menyambut Aidilfitri di Marang hari ini. - Foto Adi Aliffudin Hussin

Adi harap rekod 9 tahun lebur

KUALA TERENGGANU: Sambutan Aidilfitri tahun ini diraikan sederhana bekas atlet lontar peluru kebangsaan, Adi Aliffudin Hussin ketika negara masih lagi berperang dengan penularan pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 17.53 meter yang dilakukan ketika Sukan SEA di Indonesia 2011 itu akui lega kerana masih lagi dapat menyambut ketibaan lebaran bersama ahli keluarga termasuk ibu bapanya di kampung Binjai Rendah, Marang dan keluarga sebelah mentuanya di kampung Merchang.

Cuma anak kedua daripada tiga adik beradik itu yang bertugas sebagai pegawai tadbir di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Nerus terasa kelainan menjalani kehidupan normal baharu ini kerana tidak dapat berkunjung ke rumah sahabat handai dan sanak saudara yang tinggal berjauhan.

"Sepatutnya tahun ini kami rancang menyambut Aidilfitri di Kulim, Kedah rumah nenek sebelah ibu, Salmah Abdul Rahman, 58, namun apakan daya disebabkan negara masih lagi berdepan dengan COVID-19 dan kerajaan tidak benarkan merentas negeri, kami hanya menyambut di kampung sebelah bapa, Hussin Mat, 58.

"Namun saya bersama isteri, Siti Zahuri Afida Che Soh tetap bersyukur walaupun dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini kami semua ahli keluarga dapat bertemu di pagi Syawal sambil memohon kemaafan selain dapat menikmati juadah istimewa nasi dagang hasil air tangan ibu," ujarnya.

Berdasarkan rekod, Adi, 32, pernah melakar kejayaan mengutip tiga perak berturut-turut pada pentas Sukan SEA Laos 2009, Palembang 2011 dan Myanmar 2013 dan gangsa Singapura 2015.

Bagaimanapun sehingga kini rekod kebangsaan diciptanya yang sebelum itu menjadi milik bekas jurulatihnya, Allahyarham Mohd Nazar Abdul Rahim dengan catatan 16.67 meter belum dapat dileburkan mana-mana atlet selepas sembilan tahun berlalu.

"Setakat ini rekod yang saya cipta 17.53 meter belum dapat dileburkan mana-mana atlet, apatah lagi sepanjang bergelar atlet sebelum bersara pada temasya Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, sebanyak lima kali saya dapat pecahkan rekod sendiri.

"Justeru, saya meletakkan harapan tinggi agar temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 Mac tahun depan akan ada wira baharu yang dapat pecahkan rekod saya.

"Jika ikut pencapaian semasa, hanya Ziyad Zulkefli yang mampu mencabar rekod saya itu, namun saya percaya suatu hari nanti akan ada bintang baharu bagi menggalas misi negara terutama di Sukan SEA," katanya.

Berita Harian X